Pages

Wednesday, December 9, 2009

Ketuanan Melayu: GPMS buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, berhubung kenyataan beliau mempersoalkan hak keistimewaan dan Ketuanan Melayu.

Laporan dibuat oleh Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, yang diiringi kira-kira 10 anggota gabungan itu, pada 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Jais berkata aduan dibuat berikutan kenyataan Kulasegaran itu menguris hati orang Melayu dan bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(e) dan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan.

"GPMS kesal dengan tindakan Ahli Parlimen, wakil rakyat yang sepatutnya menjaga keamanan negara tetapi dengan tindakan ini (mempersoalkan ketuanan Melayu) ia boleh memecahbelahkan perpaduan kaum seterusnya mewujudkan rusuhan kaum," katanya.

Beliau berkata, GPMS akan menyerahkan satu memorandum bagi membantah kenyataan mempersoal Ketuanan Melayu dan mendesak permohonan maaf secara terbuka kepada Kulasegaran yang juga Naib Presiden DAP.

Pada 3 Disember lalu, Kulasegaran membangkitkan isu Ketuanan Melayu yang menghangatkan persidangan Dewan Rakyat sehingga mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen.

Kulasegaran membangkitkan isu Ketuanan Melayu ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berhubung perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, isu perpaduan di Malaysia menghadapi halangan dan kekangan seperti isu Ketuanan Melayu yang disifatkannya sebagai satu diskriminasi kepada kaum lain di negara ini. - Bernama

No comments:

Posting Terkini