Pages

Sunday, October 3, 2010

PAS akui 'cabaran berat' dek Tengku Li

KOTA BHARU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kelantan mengakui ketokohan dan kewibawaan Tengku Razaleigh Hamzah, yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, memberi kelebihan kepada BN.

'Apabila kita mendengar Tengku Razaleigh dilantik, kita menganggapnya sebagai satu cabaran yang berat. Saya melihat Tengku Razaleigh lebih berwibawa daripada pemimpin lain di Kelantan,' kata pengerusi pilihan raya PAS Kelantan, Encik Abdul Fatah Harun.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Rabu lalu pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil selepas mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kerusi DUN Galas menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya, Encik Chek Hashim Sulaima, 46 tahun, Ahad lepas ekoran barah usus.

Dalam pilihan raya umum 2008, Chek Hashim daripada PAS merampas kerusi itu daripada BN dengan majoriti 646 undi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar, berkata sebagai ahli politik berpengalaman Tengku Razaleigh calon paling layak memainkan peranan utama dalam pilihan raya kecil itu.

'Kita berpendapat pelantikan beliau amat tepat dan sesuai kerana Tengku Razaleigh adalah seorang ahli politik berpengalaman dan pernah memegang banyak jawatan dalam parti dan kerajaan.

'Beliau juga ketua bahagian dan ahli parlimen. Dua kawasan DUN dalam parlimennya turut diwakili BN, jadi sewajarnyalah Tengku Razaleigh dilantik sebagai ketua dalam pilihan raya kecil DUN Galas,' katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Oktober bagi membincangkan mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu. -- Bernama, BHM.


No comments:

Posting Terkini