Pages

Sunday, October 3, 2010

Jepun Bimbang: China meningkatkan keupayaan ketenteraannya

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Naoto Kan, semalam menyuarakan keprihatinan berkaitan tindakan China meningkatkan keupayaan ketenteraannya selain meluaskan aktiviti maritim di Asia.

Dalam ucapannya di Parlimen, Encik Kan menekankan tentang pentingnya Jepun mengamalkan diplomasi yang lebih aktif dan dasar pertahanan yang boleh menangani 'ketidaktentuan dan ketidakstabilan yang wujud di kawasan sekeliling negara kita.'

Encik Kan turut menggesa China supaya bertindak sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab.

Ini di samping mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan mempromosikan kerjasama ekonomi.

'Kebangkitan China sejak beberapa tahun yang lalu sangat menakjubkan tetapi kita prihatin dengan tindakan negara itu mengukuhkan keupayaan pertahanan tanpa ketelusan di samping meningkatkan aktiviti maritim yang merangkumi perairan di Lautan Hindi sehingga ke Laut China Selatan,' katanya.

Hubungan antara China dengan Jepun tegang baru-baru ini menyusuli penahanan kapten dan kelasi bot nelayan China yang melanggar bot peronda Jepun berdekatan kepulauan yang dipertikaikan kedua-dua negara.

Kru dan kapten kapal itu bagaimanapun telah dibebaskan minggu lalu bagi meredakan ketegangan.

Sementara itu, tiga warga Jepun yang baru dibebaskan oleh China kelmarin dilaporkan telah pulang ke tanah air mereka.

Ketiga-tiga pekerja binaan itu ditahan di luar bandar utara Shijiazhuang pada 21 September lalu kerana didakwa memasuki kawasan larangan tentera China dan merekodkan tapak lokasi tentera China.

Warga Jepun yang keempat masih kekal ditahan di China.

Tokyo berkata China perlu membebaskan warga Jepun itu sebagai usaha untuk memulihkan semula hubungan.

Namun, China menafikan bahawa penahanan warga Jepun itu mempunyai kaitan dengan isu penahanan kru kapal nelayan China pada 7 September lalu.

Semalam, Encik Kan berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dari China, Encik Wen Jiabao, di sidang puncak di Brussels pada awal minggu ini.

'Saya menjangkakan China akan memainkan peranan yang sewajarnya dan bertindak sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab. Jika masalah timbul di antara Jepun dengan China, adalah penting bagi kita sebagai negara jiran untuk memberi respons dengan tenang,' kata Encik Kan. -- AP.





No comments:

Posting Terkini