KAHIRAH: Beberapa insiden pertempuran di Pelabuhan Said telah mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya 31 orang rakyat Mesir.
Keganasan terus berlaku hingga awal pagi semalam di beberapa bandar Mesir, termasuk Kahirah, berikutan keputusan hukuman mati yang dikenakan ke atas 21 peminat bola sepak dalam satu kejadian merusuh, tahun lalu.
Pergolakan itu berlaku sehari selepas bantahan-bantahan terhadap Presiden Mohamed Mursi diadakan, yang mencerminkan perpecahan politik mendalam dan ketegangan berpanjangan di negara itu antara pihak polis dengan pembantah.
Kekecohan tercetus selang beberapa minit selepas sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas para peminat kelab Al-Masry dari Pelabuhan Said.
Mereka didapati bersalah kerana menyebabkan 74 orang terbunuh dalam keganasan selepas satu perlawanan bola sepak antara kelab tersebut dengan Al-Ahly dari Kahirah, Februari lalu.
