Keluarga dua jemaah haji Malaysia yang pada mulanya dilapor hilang dan hari ini disahkan terkorban dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram pada 11 September lalu bersyukur kerana jenazah kedua-dua rakan itu akhirnya ditemui.
Pengecaman jenazah Shahidan Saad, 52, dari Kodiang dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik dilakukan para waris dan keluarga mereka di rumah mayat Muaissem di Mina.
Adik Shahidan iaitu Nazimah Saad, 48, berkata keluarganya mendapat berita mengenai pengesahan jenazah abangnya menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar adik lelakinya Zulkhakimi, 37, kira-kira pukul 6 pagi tadi dari Makkah.
Beliau berkata Zulhakimi dan seorang lagi abangnya Sobri berada di Makkah bagi melakukan proses pengecaman jenazah.














