PARIS: Sebuah majalah Perancis dijangka menambahkan kemarahan masyarakat Islam dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad saw, semalam.
Karikatur itu diterbitkan sehari setelah pengebom nekad wanita membunuh 12 orang di Afghanistan - serangan paling teruk berkaitan treler filem anti-Islam, Innocence of Muslims.
Kematian di Afghanistan itu meningkatkan jumlah korban kepada 30 orang akibat daripada insiden-insiden yang dikaitkan dengan filem yang diterbitkan golongan pelampau Kristian di Amerika Syarikat dan mempersendakan Nabi Muhammad.
Setelah seminggu bantahan diadakan di sekurang-kurangnya 20 negara, terdapat kebimbangan gelombang kemarahan di Dunia Islam akan memuncak dengan penerbitan karikatur Nabi Muhammad dalam majalah satira mingguan, Charlie Hebdo.
