MONTREAL: Beribu-ribu penduduk, kebanyakannya beragama Islam, membanjiri jalan raya di Montreal kelmarin sebagai melahirkan rasa marah terhadap rancangan melarang pekerja awam memakai sebarang pakaian bersifat keagamaan di Quebec.
Larangan memakai tudung, serban atau sebarang pakaian yang melambangkan agama merupakan sebahagian daripada usul menggubal Piagam Nilai (Charter of Values) wilayah itu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan, "(Katakan) Tidak kepada piagam" sambil mengulangi kata-kata, "Quebec bukan Perancis". Ini rujukan kepada undang-undang serupa di Perancis yang telah berkuatkuasa lebih dua tahun lalu.
Usul tersebut akan dibawa ke parlimen tidak lama lagi dan telah mencetuskan perdebatan hangat sejak butirannya didedahkan kepada media beberapa minggu lalu.
Jika diluluskan, pekerja sektor awam akan dilarang memakai "simbol keagamaan yang ketara", termasuk tudung, yarmulka (tutup kepala kecil yang dipakai oleh lelaki Yahudi), sarban dan salib yang besar ke tempat kerja.
Usul itu juga memerlukan pengguna perkhidmatan awam "mendedahkan muka mereka sepenuhnya" - langkah yang disasarkan untuk melarang pemakaian niqab oleh sesetengah wanita Islam.