Pages

Wednesday, October 16, 2013

Gempa landa Filipina, 32 maut

MANILA: Gempa bumi sekuat 7.2 pada skala Richter melanda wilayah tengah Filipina semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terkorban dan lebih 100 lain cedera.
Pusat gempa berlaku pada kedalaman 56 kilometer di bandar Carmen, di pulau Bohol dan gegaran boleh dirasai sejauh bandar Davao di selatan Filipina.
Menurut jurucakap jabatan pertahanan awam, Encik Reynaldo Balido, sekurang-kurangnya 15 daripada kematian dilaporkan di Cebu City sementara lagi 17 di pulau Bohol dan Siquijor.
"Saya sedang nyenyak tidur apabila saya dikejutkan kerana katil saya bergegar. Saya sangat terkejut. Saya tidak boleh berbuat apa-apa selain berlindung di bawah katil," kata Cik Janet Maribao, 33 tahun, seorang penduduk Cebu.
Gambar-gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan gempa yang berlaku pada 8.12 pagi (waktu tempatan) itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada gereja-gereja lama dan juga bangunan baru, termasuk sebuah universiti.
Jalan-jalan raya utama juga mengalami kerosakan teruk.

Salah sebuah hospital besar di wilayah Cebu turut dilaporkan terbakar, dengan pesakit dipindahkan.
Saluran televisyen setempat turut melaporkan orang ramai lari keluar dari bangunan dan kediaman mereka sedang lima gegaran susulan berlaku.
Dua orang dilaporkan telah ditarik keluar daripada puing runtuhan bangunan dua tingkat di wilayah itu.
Antara mereka yang berjaya diselamatkan ialah seorang bayi berusia lapan bulan.
Gabenor Bohol, Encik Edgardo Chatto berkata sebuah gereja turut mengalami kerosakan di Tagbilaran sementara sebahagian daripada bangunan majlis bandaran runtuh, menyebabkan satu orang cedera.
Di bandar selatan Butuan di wilayah Agusan del Norte, gempa itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus.
"Kami dapat rasakan gegaran selama hampir satu minit. Rasanya seakan anda berada di atas buaian. Kita semua rasa mabuk. Bekalan elektrik kami terputus selama lebih sejam," kata seorang penduduk Butuan, Cik Jenirose Torotoro. - Agensi.

No comments:

Posting Terkini