Pages

Sunday, December 20, 2009

Formula untuk cemerlang dalam Matematik

PENGLIBATAN IBU BAPA PENTING: Ssyafiqah Nabilah (dua dari kanan) akur sokongan kukuh kedua-dua ibu bapanya, Cik Maslindah dan Encik Samseralam, adalah kunci kejayaan beliau dalam pendidikan, termasuk subjek Matematik. Bersama beliau ialah adik-adiknya, syafiqah Aqilah (berkaca mata) dan Syafiq Aqil.

APABILA Syafiqah Nabilah Shamsheralam baru pandai bertatih, ibunya, Cik Maslindah Mohamad Johari, sudah pun memperkenalkannya kepada angka dan kaset-kaset muzikal mengenai Matematik.

Lantas, minat terhadap ilmu kira-kira itu timbul secara semula jadi, dan apabila melangkah ke sekolah rendah, Syafiqah terangsang setiap kali perlu membuka buku latihan.

Hasil usaha awal itu, kanak-kanak itu muncul sebagai pelajar Melayu terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini dengan memperoleh empat A* dan agregat 286 mata.

Cik Maslindah, 39 tahun, berkata beliau sering memanfaatkan cara-cara kreatif dan menarik untuk memperkenalkan anak-anaknya kepada dunia Matematik, sains dan bahasa seperti menggunakan kad berwarna dan muzik.

'Apabila masuk prasekolah, guru-guru Syafiqah kata dia cepat tangkap. Malah, dia selalu ajar kanak-kanak lain di sekolah,' katanya tersenyum gembira.

Menurut Syafiqah pula, dia tidak pernah menganggap mempelajari Matematik sebagai sesuatu yang sukar.

Katanya, semua murid boleh berjaya dalam matematik.

'Pokoknya, kita mesti berdisiplin. Sebab, untuk cemerlang dalam Matematik kita perlu berlatih, berlatih, berlatih,' tekan bekas murid Sekolah Rendah Perempuan Raffles itu.

Namun, sifat disiplin itulah yang membuat murid, termasuk ramai murid Melayu, yang lemah dalam Matematik, menurut ibu bapa dan para pendidik yang dihubungi Berita Minggu.

Bapa Syafiqah, Encik Shamsheralam Abdullah, 42 tahun, pengurus di Lembaga Perbekalan Awam (PUB), berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk sifat disiplin itu.

Berkongsi amalannya, beliau suami isteri sering melibatkan diri dan duduk belajar bersama-sama dengan anak-anak.

Pasangan itu mempunyai dua lagi anak yang bakal memasuki darjah enam dan tiga tahun depan.

Isterinya, seorang suri rumah, yang lebih terlibat semasa Syafiqah kecil di peringkat prasekolah, manakala Encik Shamsheralam pula mengambil alih selepas anaknya itu melangkah ke sekolah rendah.

'Ibu bapa sendiri perlu ada motivasi untuk matikan televisyen dan duduk bersama anak-anak semasa mereka belajar.

'Kita juga perlu tahu mengenai perkembangan di sekolah dan faham sedikit sebanyak sukatan pelajaran.

'Matlamatnya ialah supaya anak- anak ini ada semangat untuk belajar dan sedar yang ibu bapa menyokong mereka,' kata beliau.

Encik Shansheralam, seorang lulusan universiti, akur sesetengah ibu bapa, terutama golongan berpendidikan rendah, mungkin kurang yakin untuk melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak.

Bagaimanapun, beliau menekankan, isterinya sendiri hanya berkelulusan sekolah menengah.

'Apabila Syafiqah berusia tiga tahun lagi, isteri saya yang dekatkan dia kepada huruf, angka dan sebagainya. Ketika dia di sekolah rendah, baru saya mula banyak libatkan diri.

'Yang penting ialah menanam minat itu sejak kecil supaya anak kita ada motivasi diri untuk belajar, apa juga subjeknya,' tambahnya.

Syafiqah sendiri akur bahawa minatnya kepada pendidikan secara keseluruhan, dan Matematik secara khusus, adalah berkat usaha-usaha awal ibu bapanya itu.

'Saya percaya minat belajar itu harus dipupuk dari kecil,' katanya.

Syafiqah menambah, tiada jalan mudah untuk cemerlang dalam Matematik kerana subjek itu perlukan latihan berulang kali.

Menurutnya, fokus juga penting dan pelajar harus memberi tumpuan 100 peratus kepada guru di bilik darjah kerana apa yang diberi penekanan oleh guru selalunya adalah gambaran apa yang akan keluar dalam kertas peperiksaan.

'Memang sukar, tapi di bilik darjah kita mesti disiplin diri dan fokus.

'Apabila buat latihan pula, jangan lekas putus asa jika soalan Matematik itu terlalu sukar. Bertanya dengan guru dan teman-teman, kemudian berlatih berkali-kali untuk atasi kelemahan kita,' ujarnya.

Berlatih, berlatih

No comments:

Posting Terkini