Pages

Saturday, February 19, 2011

Jutaan rakyat Mesir adakan Perarakan Kemenangan

Ulama seru tentera bentuk pemerintahan baru dan bebaskan tahanan politik



KAHIRAH: Berjuta-juta rakyat Mesir yang girang mengadakan satu 'Perarakan Kemenangan' semalam bagi meraikan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak setelah 30 tahun berkuasa dan seorang ulama berpengaruh menyeru kepada tentera supaya membentuk satu pemerintah baru dan membebaskan para tahanan politik.

Syeikh Yusoff al-Qardawi, seorang ulama berpangkalan di Qatar dan antara orang pertama yang menyokong revolusi itu, berkata rasa takut warga Mesir sudah dihapuskan oleh pemberontakan itu dan beliau yakin Majlis Tinggi Tentera tidak akan mengkhianati negara itu.

'Saya menyeru kepada tentera Mesir supaya membebaskan kami daripada pemerintah yang dibentuk Mubarak,' kata Syeikh Qardawi kepada jemaah solat Jumaat di Dataran Tahrir semalam, dengan disambut oleh sorakan orang ramai yang mengibarkan bendera Mesir.


Beliau turut meminta jemaah supaya bersabar dengan pemerintah tentera itu.

Kabinet yang ada kini sebahagian besarnya sama dengan yang dilantik Encik Mubarak sebelum beliau disingkirkan dan satu penyusunan semula dijangka dalam beberapa hari ini bagi membuka satu lembaran baru dalam sejarah Mesir.

Pemberontakan besar-besaran yang bertumpu di Dataran Tahrir sudah seminggu berlalu, namun kehidupan di Mesir belum kembali seperti biasa.

Kereta-kereta kebal masih kelihatan di jalan-jalan raya dan bank-bank serta sekolah-sekolah masih ditutup.Bantahan terhadap pemerintah dan mogok pekerja masih berlaku.

'Kami tidak mahu lihat wajah-wajah yang dikaitkan dengan rasuah, keganasan dan membunuh orang ramai,' kata Syeikh Qardawi, merujuk kepada pemberontak prodemokrasi pada hari-hari terakhir revolusi itu yang diserbu penyokong-penyokong pro-Mubarak yang menaiki kuda dan unta.

Agensi berita rasmi Mesir, yang telah memperkecil-kecilkan pemberontakan itu sebelum kejatuhan Encik Mubarak, berkata lebih daripada dua juta orang telah berhimpun di Dataran Tahrir.

Beratus-ratus ribu pula berhimpun di sekitar Mesir, bagi memperingati 365 orang yang maut dalam pemberontakan itu, dan ramai yang berkata mereka akan mempertahankan harapan baru bagi demokrasi itu.

Khutbah di Dataran Tahrir itu turut disiarkan di televisyen.

Terdapat juga kereta kebal dan kenderaan berperisai di jalan-jalan masuk ke dataran luas itu yang dipenuhi barisan orang yang bersolat sebelah-menyebelah dengan polis tentera dan lain-lain askar beruniform yang mengawal kawasan itu.

'Ini satu mesej yang serius kepada tentera,' kata Encik Mohamed el-Said, 28 tahun, yang datang ke Kahirah dari Pelabuhan Said, sambil menunjuk ke arah lautan manusia di sekelilingnya.

'Selepas hari ini, akan jadi lebih jelas bagi tentera bahawa jika mereka tidak mempertahankan revolusi ini dan memnuhi tuntutan rakyat, lain kali, rakyat akan turun ke Tahrir bukan untuk meraikan kemenangan, tetapi akan membawa selimut mereka (untuk menunjuk perasaan) seperti sebelum ini,' kata Encik el-Said kepada Reuters.

Para pegawai keselamatan berkata Perdana Menteri Ahmed Shafiq akan mengumumkan menteri-menteri yang akan membentuk satu pemerintah darurat baru minggu depan dan berharap penyusunan semula itu boleh memujuk para penunjuk perasaan dan pekerja-pekerja yang sedang mogok.

Ikhwanul Muslim, satu kumpulan yang berkata ia komited dengan demokrasi, dilihat sebagai blok yang benar-benar tersusun di Mesir, dan percaya ia boleh menang hingga 30 peratus undian dalam pilihan raya bebas.

Tentera memihak kepada rakyat dalam pemberontakan itu dan berjanji akan menamatkan satu perintah darurat yang berjalan 10 tahun, namun ia menghadapi tekanan daripada para aktivis yang mempelopori revolusi yang menghendakinya segera bertindak ke arah pembebasan awam di Mesir.

Tentera berjanji akan memindahkan kuasa kepada parti awam.

Pasukan-pasukan pembangkang yang dahulu diketepikan, kini sudah mula menggembleng tenaga. -- Reuters.


No comments:

Posting Terkini