Pages

Saturday, February 19, 2011

Mantan Presiden Tunisia kini koma


TUNIS: Presiden Tunisia yang tersingkir, Encik Zine El Abidine Ben Ali, kini 'koma' di sebuah hospital di Arab Saudi berikutan angin ahmar, kata seorang kenalan keluarganya kepada AFP kelmarin.

Mantan pemimpin berusia 74 tahun itu mula koma 'sejak Selasa' ketika dirawat di sebuah hospital di Jeddah, kata kenalan itu.

Encik Ben Ali dan keluarganya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu selepas pemberontakan menamatkan kuasanya selama 23 tahun.

Sebelum itu, seorang jurucakap pemerintah sementara enggan mengesahkan mahupun menafikan berita bekas presiden itu sedang dirawat di hospital.



Akhbar Tunisia, Le Quotidien, melaporkan lewat kelmarin, Encik Ben Ali diserang angin ahmar dan turut mengalami barah prostat.

Seorang pemberontak dan juga wartawan, Encik Touafik Ben Brik, yang pernah dipenjarakan kerana menulis rencana mengkritik rejim Ben Ali, memberitahu AFP bahawa beliau 'hampir berkabung' bagi pemimpin diktator itu, begitulah kawalannya ke atas negara itu.

'Saya tidak akan lupa. Beliau masih dalam diri kami, sebahagian masa silam kami. Beliau akan hidup lama dalam diri kami,' katanya.

Di Tunis, tidak ramai simpati.

'Jika beliau mati, kami akan kehilangan seorang diktator. Berambuslah!' kata Encik Adel, seorang guru berusia 50 tahun.Kata Amin, pelajar berusia 25 tahun: 'Jika kematiannya disahkan, saya hanya boleh berkata, cepat hukuman Tuhan. Saya tidak mahu beliau dikebumikan di negara ini.'

Sejak Encik Ben Ali lari ke Arab Saudi pada 14 Januari, butir-butir perbuatan rasuahnya sewaktu beliau memerintah mula didedahkan.

Beliau dan isterinya, Cik Leila Trabelsi, bersama orang-orang terdekatnya, disyaki mengaup sebahagian besar daripada kemewahan negara itu selama bertahun-tahun.

Pemberontakan berlaku ekoran kos sara hidup yang tinggi serta pengangguran merebak ke seluruh Tunisia. Kumpulan hak asasi berkata sekurang-kurangnya 66 orang mati apabila pihak berkuasa bertindak mengawal tunjuk perasaan itu.Encik Ben Ali mengumumkan beberapa langkah termasuk penghasilan 300,000 pekerjaan baru dan pembaharuan demokratik, tapi semua sudah terlambat. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini