Pages

Saturday, February 19, 2011

Harta pusaka Michael Jackson jana pendapatan AS$310 juta


LOS ANGELES: Harta pusaka raja pop, Michael Jackson, telah menjana pendapatan sebanyak AS$310 juta ($396.2 juta) daripada penjualan album, barangan dan produk lain sejak penyanyi lagu Thriller itu meninggal dunia pada 2009, menurut dokumen-dokumen mahkamah, semalam.

Para pentadbir harta pusakanya telah menggunakan AS$159 juta bagi melunaskan hutang bintang pop itu, yang berjumlah AS$400 juta ketika Jackson meninggal dunia .

'Walaupun masih ada tuntutan kreditor yang belum diselesaikan sementara menunggu proses litigasi dan isu perniagaan, percukaian dan undang-undang tambahan yang mencabar dan kes harta pusaka itu belum lagi memenuhi syarat untuk ditutup, para pelaksana telah mencapai kemajuan dalam mengurangkan hutang harta pusaka itu,' kata dokumen-dokumen itu.


Rekod-rekod tersebuat, yang diumumkan kepada awam sebagai sebahagian daripada prosiding pengesahan harta pusaka itu, adalah yang paling terperinci mengenai kedudukan kewangan harta pusaka Jackson sejak kematiannya hingga 31 Disember lalu.

Para waris harta pusaka itu adalah anak-anak Jackson, ibu penyanyi itu dan beberapa badan kebajikan.

Pendakwa raya, Encik John Branca, dan eksekutif muzik, Encik John McClain, dinamakan sebagai pentadbir wasiat yang ditandatangani oleh penyanyi itu sebelum beliau meninggal dunia pada Jun 2009, akibat mengambil ubat, sebahagian besarnya adalah bahan anestetik propofol, dengan dos yang berlebihan.

Dr Conrad Murray, doktor yang bertanggungjawab ke atas penyanyi tersebut ketika itu, telah didakwa menyebabkan kematian secara tidak sengaja tetapi beliau tidak mengaku bersalah.

Album 'Thriller' yang dikeluarkan oleh Jackson pada 1982, masih menjadi album paling laris dijual sepanjang masa.

Para pemain industri berpendapat harta pusaka beliau boleh menjana pendapatan buat tahun-tahun mendatang, sama seperti mendiang bintang lain seperti Jimi Hendrix, John Lennon dan Elvis Presley, yang terus meraih pendapatan berjuta dolar.

Antara projek yang menjanakan wang bagi harta pusaka Jackson ialah album terbarunya yang berjudul Michael, yang mengandungi lagu-lagu yang belum dikeluarkan sebelumnya, dan filem konsertnya, This is it, yang mengandungi rakaman beberapa latihannya bagi siri konsertnya di London. -- Reuters.


No comments:

Posting Terkini