Pages

Sunday, October 3, 2010

Obama temui pengembara yang ditahan lebih setahun di Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kelmarin bertemu Cik Sarah Shourd, 32 tahun, pengembara yang ditahan lebih setahun di Iran.

Dalam pertemuan di Rumah Putih itu, Encik Obama mengulangi gesaan agar Teheran membebaskan dua lagi pengembara rakyat Amerika yang masih ditahan iaitu tunang Cik Shourd, Encik Shane Bauer, dan rakannya, Encik Josh Fattal.

Cik Shourd, yang dibebaskan bulan lalu, datang ke Rumah Putih ditemani ibunya, Cik Norah; ibu Encik Bauer, Cik Cindy Hickey; ibu Encik Fattal, Cik Laura; dan adik lelakinya, Alex.

'Kami berharap Iran akan menunjukkan belas kasihan dan melakukan yang wajar bagi memastikan Shane, Josh dan warga Amerika yang masih ditahan di Iran dibebaskan,' kata satu kenyataan Rumah Putih.

Mereka ditahan pada 31 Julai 2009 kerana menyeberang masuk secara haram ke wilayah Iran dari Iraq.

Washington berkata mereka bertiga memasuki wilayah Iran apabila tersesat jalan dalam satu pengembaraan dan menafikan mereka bekerja sebagai pengintip.

Cik Shourd dibebaskan pada 14 September lalu selepas ikat jamin AS$500,000 ($657,150) dibayar.

Beliau bertemu Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, di New York minggu lepas semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk merayu agar dua lagi rakannya dibebaskan.

Presiden Ahmadinejad menggesa Amerika agar membebaskan lapan rakyatnya yang ditahan Washington.

Menurutnya, Teheran mengorak langkah muhibah dengan melepaskan Cik Shourd. -- AFP, Reuters, Bloomberg.


No comments:

Posting Terkini