Pages

Monday, October 26, 2009

Artis terbabit dadah ingin kembali berlakon

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Shereen, yang pernah menggemparkan industri hiburan tanah air apabila dituduh terbabit dengan dadah, merayu agar diberi peluang kedua untuk kembali berlakon.

'Saya minta jasa baik penerbit dan pengarah, beri saya peluang.

'Jangan takut ambil saya berlakon. Kepada yang mengenali saya, mereka tahu siapa saya,' kata Shereen, atau nama sebenarnya Noor Shereen Mohamad Hadzim, 38 tahun.

'Keinginan untuk berlakon membuak-buak sehingga apabila melihat orang berlakon... lihat watak yang pernah dilakonkan, tak dapat saya gambarkan betapa saya rindu untuk kembali berlakon,' tambahnya.

Shereen sebelum ini didakwa mengambil dadah jenis Syabu pada 15 Mac 2005.

Selepas dibicarakan selama empat tahun, mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan itu pada Mei lalu.

'Saya tidak salahkan masyarakat jika mereka terus mempercayai musibah yang pernah berlaku pada saya. Yang saya minta, jangan terus menghukum.

'Saya tiada kemampuan untuk menerangkan kepada seorang demi seorang apa sebenarnya berlaku. Cukup saya katakan saya puas menderita gara-gara musibah itu.

'Bukan mudah untuk saya menempuhnya. Walaupun selepas dilepas tanpa bebas, saya malu berdepan masyarakat.

'Bayangkan, selama seminggu saya berharap apabila bangun daripada tidur, peristiwa hitam yang berlaku itu hanya mimpi. Namun lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu dan saya belajar menerima hakikat,' katanya, yang popular menerusi drama seperti Menantu Mami dan filem Putera serta pernah merakam album solo berjudul Rahsia Cinta pada 1992.

'Pada mulanya memang saya tak berani keluar rumah, namun lama kelamaan saya beranikan diri. Ketika itu saya dapat rasakan saya dipandang sinis.

'Ketika itu terdetik di fikiran, tiada siapa mahu berkawan dengan saya dan tiada siapa mahukan saya. Saya pasrah,' katanya.

Dalam pertemuan itu, Shereen mengakui beliau sudah berumah tangga dengan duda beranak empat dari Singapura, Encik Sha'ari Abdul Rahman, 48 tahun. -- Metro Ahad.

No comments:

Posting Terkini