Pages

Wednesday, December 9, 2009

Kedah beri potongan 25 peratus langsai pinjaman pendidikan

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap penerima pinjaman pelajaran yang gagal menjelaskan hutang, sebaliknya diskaun 25 peratus diberi mulai Januari ini kepada mereka yang melangsaikan hutang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata sehingga semalam terdapat seramai 3,096 peminjam tidak aktif yang berhutang berjumlah RM18,373 juta dengan Lembaga Biasiswa Kedah dan cuma 1,088 sahaja yang aktif.

"Tindakan ini termasuk mendaftarkan nama peminjam dan penjamin dengan CTOS (Credit Tip Off Service) supaya mereka susah apabila hendak membuat pinjaman," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Azizan berkata, Lembaga Biasiswa Kedah cuma dapat mengutip balik pinjaman sebanyak RM1.376 juta tahun ini sehingga November lalu manakala RM1.692 juta pada tahun lalu.

"Sebagai insentif, kita akan beri diskaun potongan 25 peratus kepada peminjam yang menjelaskan baki pinjaman mereka mulai Januari ini. Kita juga akan mencari mereka sehingga di rumah dan tempat kerja.

"Kita akan berbincang dengan majikan mereka. Setakat ini Jabatan Pendidikan Kedah memberi kerjasama untuk memotong gaji kakitangannya," katanya.

Beliau berkata, peminjam yang meninggal dunia, penjamin dilepaskan dari tanggungjawab sebaliknya waris peminjam yang akan membayar balik baki hutang.

Katanya, Lembaga Biasiswa akan melantik panel peguam untuk mengambil tindakan terhadap peminjam engkar dan mereka (peminjam) akan menanggung segala kos guaman. - Bernama

No comments:

Posting Terkini