Pages

Wednesday, April 15, 2009

200,000 PEKERJA PELANCONGAN DIRAMAL DIBERHENTI

BANGKOK: Sektor pelancongan Thailand yang terjejas teruk oleh krisis politik sekarang dijangka kehilangan 200,000 pekerjaan tahun ini.

Demikian amaran pakar-pakar, sedang bantahan politik ganas yang sedang berlaku di Bangkok mencetus pembatalan lawatan pelancong luar negara secara besar-besaran.

Penunjuk perasaan antikerajaan yang menggagalkan Sidang Puncak Asean di Pattaya minggu lalu sekarang mengalihkan bantahan mereka ke Bangkok dan bertempur dengan pasukan keselamatan tanpa mempedulikan perintah darurat.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Thailand (Atta), Encik Apichart Sankary, berkata sorotan televisyen yang menunjukkan askar melepaskan tembakan bagi menyuraikan penunjuk perasaan telah mencetus kebimbangan bakal pelawat.

'Pembuangan pekerja tidak dapat dielak. Jika keadaan tidak pulih, kita mungkin menyaksikan sehingga 200,000 orang dibuang kerja tahun ini,' kata beliau, yang merayu agar kerajaan mengamankan keadaan secepat mungkin.

Para pelancong yang terkandas di Bangkok berkata mereka bimbang akan keselamatan diri mereka.

Sebahagian mereka merunguti pusat beli-belah yang terpaksa ditutup selepas penyokong mantan perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, mengganas di Bangkok.

Ketidakmantapan berterusan akan menjejas perusahaan pelancongan kerana Thailand bukan lagi 'Negara senyuman' yang diharapkan para pelancong.

'Perisytiharan perintah darurat dan amaran supaya jangan melawat Thailand oleh negara lain akan menjejas kemasukan pelancong ke negara ini,' kata Encik Robert McIntosh, seorang pakar sektor perhotelan bagi firma konsultan hartanah CB Richard Ellis.

'Pelancong akan mengalihkan percutian mereka ke tempat lain, seperti Bali dan Vietnam,' kata beliau. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini