Pages

Wednesday, October 28, 2009

Hukum rejam hingga mati di Aceh

BANDA ACEH: Satu undang-undang Islam di wilayah Aceh yang membolehkan pasangan curang dan peliwat direjam hingga mati akan disemak.

Undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Majlis Perundangan Aceh mulai 14 September lalu itu akan dipertimbangkan semula oleh majlis baru yang bakal dilantik.

'Gabenor (Aceh) enggan menandatangani undang-undang itu ekoran adanya peruntukan rejam, yang serupa dengan hukuman mati.

'Dari mula lagi pemerintah Aceh tidak bersetuju dengan undang-undang merejam. Kami berharap Parlimen akan membincangkan semula undangundang ini,' kata jurucakap Aceh, Encik Abdul Hamid Zein.

Undang-undang itu membolehkan hukuman sebat sehingga 400 kali dikenakan ke atas sesiapa yang merogol kanak-kanak, 100 kali ke atas peliwat dan 60 kali bagi kesalahan berjudi.

Awal bulan ini, pemerintah Aceh mengecam pemenang pertandingan ratu cantik Miss Indonesia, Qori Sandioriva, 18 tahun, yang berasal dari wilayah itu, kerana tidak memakai tudung semasa pertandingan.

Badan hak asasi kemanusiaan Human Rights Watch, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah menggesa pemerintah pusat dan pemerintah Aceh supaya menarik balik undang-undang rejam itu sambil berkata 'rejam dan sebat merupakan satu penderaan'.

Gabenor Aceh, Encik Irwandi Yusuf, sebelum ini telah melahirkan bantahan beliau terhadap undang-undang itu.

Speaker parlimen wilayah, Encik Hasbi Abdullah, berkata parlimen yang dilantik pada 30 September lalu 'secara dasarnya' menentang undang-undang rejam dan satu semakan adalah antara keutamaan para penggubal dasar baru.

Parti Aceh, yang dianggotai oleh Encik Irwandi, menguasai 33 daripada 69 kerusi parlimen baru.

Tetapi Encik Moharriadi Syafari daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) berkata undang-undang itu telah berkuatkuasa secara automatik pada pertengahan bulan ini, atau 30 hari selepas ia diluluskan oleh parlimen lama.

'Undang-undang itu telah berkuatkuasa selang 30 hari selepas ia diluluskan walaupun gabenor tidak menandatangannya.

'Mereka yang tidak bersetuju dengannya boleh mendapatkan semakan kehakiman di Mahkamah Agung. Jika parlimen ingin menyemaknya , ia perlu menunggu setahun kerana itu syaratnya,' kata beliau.

Encik Moharriadi selanjutnya menarik perhatian bahawa ramai orang mempunyai salah tanggapan berkaitan undang-undang itu.

'Walaupun undang-undang ini telah diluluskan, ini tidak bermakna ramai orang di Aceh akan direjam. Adalah sukar untuk membuktikan penzinaan. Walaupun mereka mengaku berzina, mereka tidak akan direjam secara automatik,' katanya.

'Tujuan utama undang-undang ini ialah untuk menyelamatkan penduduk Aceh daripada melakukan perbuatan yang dilarang agama agar mereka dibebaskan daripada seksa api neraka,' tambah beliau. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini