Pages

Monday, April 13, 2009

WANITA DIPAKSA BOGEL SELEPAS DIROMPAK

JOHOR BAHRU: Dua lelaki bersenjatakan pisau merompak seorang wanita dan melarikan diri dengan wang tunai RM200 ($84), telefon bimbit dan kad mesin tunai automatik (ATM) selepas mengarahkan mangsa berbogel sebelum merakam gambarnya menggunakan kamera telefon bimbit.

Menurut laporan, wanita berusia 35 tahun itu memasang iklan di sebuah akhbar tempatan bahawa beliau sedang mencari penyewa bagi rumah kedainya di Taman Desa Cemerlang, dekat Ulu Tiram.

Perompak-perompak itu menghubungi wanita itu sekitar 4 petang Jumaat lalu, kononnya berminat menyewa rumah kedai berkenaan.

Selepas bersetuju, wanita dan kedua-dua lelaki itu mengatur pertemuan di pekarangan premis kedainya sebelum naik ke ruang atas rumah kedai itu.

Bagaimanapun, wanita itu diacu dengan pisau oleh salah seorang lelaki itu sebelum mereka bertindak merampas telefon bimbit, kad ATM serta wang bernilai RM200 milik mangsa.

Malah, wanita itu diarahkan supaya berbogel sebelum gambarnya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit.

Beliau turut diugut supaya menyerahkan nombor pin kad ATM miliknya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mangsa yang bimbang dicederakan mengalah dan menurut arahan perompak tersebut, yang kemudian melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Taman Desa Cemerlang.

'Polis kini sedang memburu dua penjenayah berkenaan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline 07-2212999 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan,' kata beliau seperti ditukil akhbar Berita Minggu Malaysia semalam.

Mangsa kini bimbang gambar bogelnya akan disebarkan oleh perompak berkenaan. -- BHM, NST, Metro Ahad.

No comments:

Posting Terkini