Pages

Monday, April 13, 2009

SEKILAS - DUNIA

Isteri mantan presiden disoal

SEOUL: Pegawai pendakwa Korea Selatan menyoal isteri mantan presiden negara itu, Encik Roh Moo-hyun, kerana disyaki menerima AS$1 juta ($1.5 juta) daripada seorang ahli perniagaan yang ditahan, kata seorang pegawai semalam.

Pendakwa menyoal Cik Kwon Yang-sook Sabtu lalu untuk memastikan sama ada beliau menerima sogokan wang daripada Park Yeon-cha, ketua firma pengeluar kasut, menerusi seorang penasihat presiden pada 2007, kata jurucakap pendakwaan, Encik Cho Eun-suk.

Semalam, pihak pendakwa turut menyoal anak lelaki Encik Roh, Encik Roh Gun-ho, sama ada beliau menggunakan sebahagian wang itu untuk perbelanjaan di Amerika Syarikat atau tidak, kata Encik Cho. -- AP.

Jumpa 3 bom dekat pos polis Indon

TIMIKA: Tiga bom buatan sendiri dijumpai semalam dekat pos polis di bandar Abepura, dalam wilayah Papua, timur Indonesia, tempat berlakunya pertempuran antara polis dengan golongan pemisah Khamis lalu.

Bagaimanapun, bom tersebut, yang dijumpai pekerja pembersihan dalam tong sampah, tidak meletup.

Polis sedang menyiasat motif pemasangan bom itu, kata jurucakap polis Papua, Encik Nurhabri. -- AFP.

Terima Iran sebagai kuasa nuklear

TEHERAN: Speaker Parlimen Iran, Encik Ali Larijani, semalam berkata kuasa dunia mesti menerima Iran sebagai sebuah kuasa nuklear.

Beliau berkata demikian selepas lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - Britain, China, Russia, Perancis dan Amerika Syarikat - serta Jerman membuat tawaran hendak mengadakan rundingan langsung dengan Iran berhubung program nuklearnya itu.

'Sekarang 5+1 tidak ada alasan untuk menafikan atau enggan membenarkan teknologi nuklear Iran. Rundingan harus didasarkan kepada hak kami yang disebut dalam Perjanjian Mencegah Penularan Senjata Nuklear (NPT),' kata beliau kepada Parlimen Iran. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini