Pages

Monday, April 13, 2009

Tindakan diambil lepas Pyongyang lancar roket

NEW YORK: Enam kuasa dunia menyetujui satu draf kenyataan bagi sekatan baru ke atas Korea Utara yang dijangka diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) hari ini, kata para diplomat.

Kenyataan itu dipersetujui lima anggota tetap Majlis Keselamatan - Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat - serta Jepun dalam satu sidang tertutup Sabtu lalu.

Ia kemudian diserahkan kepada 10 lagi anggota Majlis Keselamatan yang lain.

'Majlis Keselamatan mengutuk pelancaran (roket) pada 5 April 2009 oleh Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), yang melanggar Resolusi 1718 Majlis Keselamatan,' menurut kenyataan PBB itu.

Seorang diplomat Barat berkata beberapa syarikat Korea Utara akan dikenakan pembekuan aset menjelang akhir bulan ini.

Duta besar Mexico ke PBB, Encik Claude Heller, yang juga pengerusi Majlis Keselamatan bulan ini, memberitahu pemberita bahawa teks tolak ansur yang dibentangkan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Cik Susan Rice, 'adalah asas bagi satu kenyataan bersama dan jelas oleh Majlis Keselamatan'.

Menurutnya, Majlis Keselamatan akan bersidang petang ini 'bagi meluluskan kenyataan' yang diminta Jepun.

'Apa yang penting ialah Majlis Keselamatan bertindak secara bersama. Saya harap matlamat ini dicapai dengan penerimaan secara rasmi draf itu,' jelas beliau.

Cik Rice menegaskan: 'Melalui penerimaan kenyataan ini, ia akan memberi isyarat jelas kepada Korea Utara bahawa apa yang mereka lakukan dengan berselindung di sebalik pelancaran satelit adalah satu pencabulan dan mereka akan menerima akibat daripada tindakan serupa itu.'

Namun, para penganalisis berpendapat kesan sebarang sekatan adalah terhad.

'Kenyataan tersebut hanya sebagai satu simbol,' kata Encik Yoo Ho-yeol, seorang pakar mengenai Korea Utara di Universiti Korea di Seoul.

'Korea Utara, jika ia mahu melibatkan diri dalam kegiatan haram, akan melakukannya tidak kira apa yang berlaku,' kata beliau.

Seorang penganalisis China berkata draf kenyataan itu dapat diterima Pyongyang, demikian juga Beijing.

'Pada saat ini, China puas hati dengan format (kenyataan itu),' kata Encik Jin Canrong dari Universiti Renmin.

'Ini bermakna Korea Utara juga akan dapat menerimanya,' ujar beliau.

Menurut Encik Jin, pelancaran roket Korea Utara adalah untuk rakyatnya dan matlamat itu sudah dicapai. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini