Pages

Tuesday, January 13, 2009

Polis Rampas Dadah RM40 Ribu, Empat Ditahan

KUALA LUMPUR, 13 Jan -- Polis merampas dadah jenis Ketamin dan pil Eramin 5 bernilai lebih RM40,000 serta menahan empat orang termasuk dua kanak-kanak dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Manjalara Kepong di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata lebih satu kilogram dadah jenis Ketamin dan 1,410 biji pil Eramin 5 dirampas dalam serbuan pada pukul 1 petang di rumah teres dua tingkat itu.

Mereka yang ditahan itu ialah seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak perempuan yang berumur antara antara 9 dan 31 tahun, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

"Dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran di sekitar Sentul. Lelaki dan wanita yang berasal dari Perak itu adalah ipar-duai serta telah menjalankan operasi pengedaran dadah sejak enam bulan lepas.

"Dengan tertangkapnya mereka berdua, kami telah dapat melumpuhkan sindiket pengedaran Ketamin dan Eramin 5 di Sentul," katanya.

Dalam serbuan itu, 141 papan yang mengandungi 1,410 biji pil Eramin 5 yang dijual di pasaran semasa dengan harga RM500 untuk satu papan ditemui tersembunyi di sebuah bilik di rumah berkenaan.

Muhammad Sabtu berkata polis turut menemui sebilah pedang berukuran 16 inci, sebilah pisau berukuran 15 inci, empat telefon bimbit pelbagai jenis, tiga keping cek kosong, alat penimbang, satu plastik 'film sealer', dua penapis besi dan sebuah besi acuan.

Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM157,690 dan sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak, katanya.

Muhammad Sabtu berkata polis masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca bekalan dadah itu dan individu lain yang turut terlibat dalam operasi pengedaran dadah itu.

"Ujian air kencing terhadap suspek lelaki dan wanita itu didapati negatif dan mereka direman tujuh hari sehingga 17 Jan ini.

"Manakala dua kanak-kanak terbabit dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama, dan kini dijaga oleh sanak saudara terdekat," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Posting Terkini