Pages

Tuesday, January 13, 2009

Peranan isteri Farid dan Wahid

CALON PAS Mohd. Abdul Wahid Endut dan isteri, Wan Fatimah Wan Abdullah semasa berkempen di Jalan Bandar Baru, Kampung Pulau Kambing.

DI SEBALIK kesibukan suami masing-masing mengharungi kempen tidak kurang daripada 20 jam setiap hari, isteri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Barisan Nasional (BN) dan isteri Mohd. Abdul Wahid Endut, yang mewakili PAS, mempunyai peranan tersendiri bagi menghadapi hari penentuan Sabtu ini.

Bagi isteri Wan Ahmad Farid, Datin Intan Baizurah Abdul Wahab, ini merupakan pilihan raya kali pertama suaminya bertanding dan pengalaman sulung beliau terlibat secara langsung dalam kempen pilihan raya khususnya pilihan raya kecil.

Bagaimanapun isteri Mohd. Abdul Wahid, Wan Fatimah Wan Abdullah, beliau telah enam kali mengambil bahagian dalam kempen membantu suamnya meraih undi. Kali pertama ialah 1986 di mana Mohd. Abdul Wahid tewas dan yang terakhir 8 Mac lalu.

Sejak 1986, Wan Fatimah membantu Mohd. Abdul Wahid menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Kuala Terengganu. Ini kali pertama beliau membantu berkempen dalam pilihan raya kerusi Parlimen.

Dalam pertemuan dengan mStar Online malam kelmarin, Intan Baizurah dan Wan Fatimah masing-masing mengadakan pertemuan dengan pekerja jentera pilihan raya di Bukit Besar dan ketika kempen di Pulau Kambing dalam usaha menambah sokongan.

Terdahulu ketika ditemui di rumahnya di Jalan Ibrahim, Kuala Terengganu, Intan Baizurah turut sibuk melayani orang perseorangan dan keluarga yang datang meminta bantuan menyelesaikan masalah mereka.

"Jika suami saya tiada di rumah, saya menjadi penghubung beliau dengan penduduk tempatan. Jika Datuk tiada di rumah, saya membantu Datuk menguruskan jika ada orang datang meminta bantuan," kata beliau yang turut mengakui rutin kehidupan berubah.

Pun begitu, katanya, "saya menerima ia sebagai sebahagian daripada kehidupan ahli politik."

Apabila ditanya mengenai penerimaan beliau apabila Wan Ahmad Farid diumumkan sebagai calon BN, Intan memberitahu:

"Dulupun nama beliau disebut-sebut tetapi tidak... (menjadi kenyataan). tetapi kali ini saya tidak sangka (akan dipilih sebagai calon)," kata ibu kepada enam orang anak ini.

"Apabila diumumkan, beliau (Wan Ahmad Farid) rasa gembira dan terharu. Beliau meminta sokongan saya untuk menyokong beliau mengharungi cabaran ini.

"Beliau meminta saya memahami keadaan sepanjang kempen... saya membantu bagi kejayaan," kata beliau sambil menambah beliau sudah memahami kehidupan sebagai isteri seorang ahli politik sejak Wan Ahmad Farid menyertai politik.

Wan Ahmad Farid menyertai politik secara aktif lebih sedekad lalu. Kini beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.

"Saya juga menghubungi ahli-ahli keluarga saya meminta sokongan," kata beliau tentang perkara yang dilakukan sebaik sahaja Wan Ahmad Farid diumumkan sebagai calon BN pertengahan bulan lalu.

"Sejak Datuk menjadi ahli politik, saya memainkan peranan sebagai penghubung dengan keluarga.

"Kalau Datuk tiada di rumah, saya menghadiri majlis-majlis jemputan," kata beliau yang mempunyai 15 adil-beradik.

"Oleh itu tidak kekok berhadapan dengan orang ramai," kata suri rumah ini.

Sejak menamatkan pengajian jurusan kewangan di KUSZA, Intan yang mendirikan rumah tangga dengan Wan Ahmad Farid dua dekad yang lalu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

Politik juga bukan sesuatu yang baru bagi Intan dan keluarganya. Jelas beliau, datuknya juga pernah menceburi politik dan pernah memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri peringkat awal kemerdekaan.

Mengenai pendekatannya dalam pilihan raya, Intan yang memperlihatkan semangat dan keyakinan calon BN akan menang menjelaskan, selain mengiringi suaminya dalam program tertentu, beliau juga mempunyai aktiviti berasingan.

"Saya membuat aktiviti berasingan untuk memaksimumkan masa yang ada untuk meraih sokongan," katanya.

Apabila menemui pengundi, kata Intan Baizurah, "saya meminta pengundi tolong memberi satu peluang kepada Datuk untuk berkhidmat bagi mereka."

"Daripada wajah muka mereka, dan sambutan setakat ini, saya nampak mereka akan membantu (mengundi)," kata Intan Baizurah dengan wajah mesra diiringi senyuman ringan sepanjang perbualan.

"Mereka kata akan tolong... Insya-Allah Datuk akan menang kata mereka," kata beliau yang turut berpendapat bahawa Wan Ahmad Farid "mempunyai sesuatu untuk ditawarkan."

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Wan Ahmad Farid seorang tidak mesra dan sombong, Intan dalam nada rendah berkata, "saya pun tidak tahu mengapa (mereka mengatakan mereka)... tiba-tiba sahaja mengatakan demikian."

Intan mengakui beliau ada kalanya kecewa dengan tanggapan sedemikian. "Tetapi Datuk berkata biar kita lakukan yang terbaik, jangan layan tanggapan sedemikian... kalau kita ikut kata-kata macam itu, kita tidak boleh buat kerja," katanya.

"Ini persepsi orang. Kalau kita kenal Datuk dengan dekat, beliau bukan begitu... beliau seorang yang simple, mudah didekati," katanya lagi.

Wan Fatimah yang mengikuti ceramah keenam dihadiri Mohd. Abdul Wahid di kawasan Jalan Bandar Baru, Kampung Pulau Kambing kira-kira pukul 11 malam berkongsi pengalaman 'politik' beliau lebih dua dekad.

"Saya rasa terharu kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk mewakili parti. Pemilihan ini (Mohd. Abdul Wahid sebagai calon) sangat besar makna, amanah daripada parti.

"... kami menerima amanah ini untuk memastikan dapat menambah suara parti di Parlimen, membawa suara rakyat ke Parlimen," kata guru ini yang turut ditemani adik iparnya, Madiah Endut dan ibu Mohd. Abdul Wahid, Maznah Abu Bakar ketika mengikuti ceramah tersebut.

Rumah Maznah hanya beberapa meter jauh dari lokasi ceramah itu.

Dengan memainkan peranan sebagai guru, suri rumah dan isteri wakil rakyat, Wan Fatimah berkata, beliau juga tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai 'jambatan' antara wakil rakyat itu dengan penduduk tempatan.

"Kalau beliau tidak kelapangan, saya akan menjadi wakil... membantu mengurangkan beban beliau," katanya.

"Sekarang, waktu siang saya ke sekolah dan waktu malam saya membantu berkempen... oleh kerana sekarang ini musim persekolahan, saya tidak boleh mengambil cuti, lagi pun sesi persekolahan baru mula," katanya.

Apabila ditanya tentang kelainan persekitaran kempen pilihan raya pada 1986 dan sekarang, Wan Fatimah dalam kata-kata tersusun berkata: "Dulu fikiran pengundi agak tertutup... sukar untuk mendampingi pengundi, tapi kini lebih terbuka terutama di kawasan bandar."

"Ini kelainan ketara dulu dan sekarang," katanya.

Bahagian Parlimen Kuala Terengganu terdiri daripada empat kerusi DUN iaitu Bandar, Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam. Mohd. Abdul Wahid merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri selama lima penggal.

Mengenai cabaran menghadapi kempen kali ini, Wan Fatimah, ibu kepada sembilan orang anak ini menjelaskan: "Kita anggap ini sebagai tugas jemaah, tanggungjawab semua orang... seorang sahaja tidak mampu untuk melakukannya."

"Satu lagi cabaran ialah dulu tiada wang, sekarang wang banyak ditaburkan, media digunakan dengan luas," ujar beliau.

Lima daripada sembilan anaknya juga merupakan guru.

Wan Fatimah yang turut yakin suaminya akan mencatatkan kejayaan Sabtu ini berkata, beliau juga berkempen dari rumah ke rumah dan memberikan ceramah kepada kaum wanita.

Beliau mengambil bahagian kira-kira empat hingga enam program sehari bergantung pada hari berkempen. Misalnya, kata Wan Fatimah, beliau telah menyertai enam program Sabtu lalu.

"Malah, dari dulu lagi saya membantu suami saya berkongsi tugas dan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat... apa yang perlu saya lakukan, saya membantu beliau, antara menyelesaikan masalah yang dibawa pengundi," kata beliau. Di sekolah beliau turut memikul tanggungjawab menyelia hal ehwal murid.

"Cukup seronok apabila membantu (orang ramai), apabila dapat mengetahui kesukaran mereka dan membantu mereka," katanya. -mstar

No comments:

Posting Terkini