Pages

Tuesday, January 13, 2009

838 Polis Dan Tentera Mengundi Isnin

KUALA TERENGGANU, 12 Jan-- Sebanyak 838 anggota polis dan tentera mengundi untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pengundian itu diadakan di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang Isnin.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan seramai 1,001 pegawai dan anggota polis layak mengundi untuk pilihan raya kecil ini. Bagaimanapun, seramai 190 orang sudah bertukar, bersara, berhenti atau meninggal dunia," katanya kepada pemberita di IPK negeri di sini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Mohd Noor Daud berkata kesemua 27 anggota tentera mengundi di Kem Kejuruteraan Askar Wataniah di Jalan Pusara di sini.

SPR menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil itu, yang membabitkan 80,229 pengundi berdaftar. Pengundi pos terdiri daripada 1,001 anggota polis, 27 tentera, tujuh penuntut yang menuntut di luar negara dan 267 petugas pilihan raya.

Pilihan raya kecil tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat atau Adam.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini