Pages

Tuesday, January 13, 2009

Ejen Dibenar Duduk Bersebelahan Ketua Undi Pos

KUALA TERENGGANU, 12 Jan-- Buat pertama kali, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan ejen calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ditempatkan bersebelahan ketua tempat undi pos.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sebelum ini, ejen berkenaan dibenarkan memasuki kawasan itu tetapi ditempatkan jauh daripada ketua tempat undi pos atau pegawai polis yang mengeluarkan kertas undi pos tersebut.

Katanya langkah itu bagi membuktikan ketelusan SPR serta memastikan semua pihak berpuas hati dengan perjalanan proses undi pos termasuk melihat pengundi memasukkan kertas undi ke dalam karung yang disediakan di tempat berkenaan.

Beliau berkata ejen calon yang bertanding dapat melihat semua proses mengundi termasuk mendengar nama pegawai dan anggota yang dipanggil mengundi di Dewan Rendang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, Isnin.

"Hanya ejen calon Barisan Nasional (BN) dan PAS berada di tempat mengundi manakala calon Bebas tidak menghantar wakil," katanya selepas meninjau proses mengundi undi pos.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 838 anggota polis dan tentera hari ini mengundi untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata SPR mewartakan seramai 1,001 pegawai dan anggota polis layak mengundi untuk pilihan raya kecil itu namun seramai 190 orang sudah bertukar, bersara, berhenti atau meninggal dunia.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Mohd Noor Daud berkata kesemua 27 anggota tentera mengundi di Kem Kejuruteraan Askar Wataniah di Jalan Pusara di sini.

SPR menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil itu, yang membabitkan 80,229 pengundi berdaftar. Pengundi pos terdiri daripada 1,001 anggota polis, 27 tentera, tujuh penuntut yang menuntut di luar negara dan 267 petugas pilihan raya.

Pilihan raya kecil tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat atau Adam.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini