Pages

Tuesday, January 13, 2009

18 Penumpang Bot Karam Di Indonesia Ditemui

JAKARTA, 12 Jan-- Sekurang-kurangnya 18 daripada kira-kira 250 penumpang bot KM Teratai Prima yang karam selepas dipukul ombak besar di perairan Pare-pare, Selatan Sulawesi, ditemui dan diselamatkan oleh nelayan dari daerah Majene, Barat Sulawesi.

"Tiga daripada 18 penumpang yang dibawa ke pantai itu diselamatkan oleh Nur Salim, salah seorang nelayan dari Majene," kata Salman, iaitu penyelaras pasukan penyelamat dari Universiti Hasanuddin, yang dipetik oleh agensi berita Antara.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada nelayan itu, tiga penumpang bot berkenaan dikenal pasti sebagai Saharuddin, Daris dan Luther.

Nur Salim berkata ketiga-tiga penumpang itu ditemui terapung-apung oleh nelayan yang sedang menuju ke arah pantai selepas selesai menangkap ikan.

KM Teratai berlepas dari pelabuhan Pare-pare di Selatan Sulawesi menuju Balikpapan kira-kira 4 petang waktu tempatan pada Sabtu. Menurut sesetengah laporan, KM Teratai membawa kira-kira 200 penumpang manakala laporan lain pula menyebut terdapat 250 orang kesemuanya.

Pada hari biasa, laluan Pare-pare-Balikpapan boleh diliputi dalam masa satu hari.

"Disebabkan hujan lebat dan ombak kuat, juragan tidak dapat mengemudikan bot itu yang kemudian karam selepas dipukul ombak besar dalam perjalanan ke Balikpapan," kata Salman.

Dalam usaha mencari lebih 200 penumpang lagi yang masih hilang, pasukan mencari dan menyelamat dari beberapa buah universiti akan dikerah ke lokasi kejadian.

"Pasukan mencari dan menyelamat yang sebelum ini dihantar untuk menolong mangsa banjir di daerah Polman, Barat Sulawesi, terpaksa membantu mencari dan menyelamat para penumpang yang hilang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini