Pages

Wednesday, January 28, 2009

INDONESIA SEDIA BICARAKAN HAMBALI

JAKARTA: Indonesia sudah bersiap sedia bagi membicarakan Hambali, pakar bom Jemaah Islamiyah (JI), jika dia dihantar pulang selepas penjara tentera Amerika Syarikat di Guantanamo Bay ditutup, menurut polis semalam.

Hambali ditahan di Thailand pada 2003 kerana disyaki menjadi anggota kanan kumpulan militan Al-Qaeda, juga pemimpin kanan JI yang dipersalah di atas sejumlah serangan bom di rantau ini.

Polis Indonesia berkata Jakarta telah meminta kebenaran pihak berkuasa Amerika untuk bertemu dan menemubual Hambali di Guantanamo Bay di Cuba menjelang penutupan penjara tersebut.

'Kami berharap dapat menemui Hambali tidak lama lagi,' kata jurucakap polis Indonesia, Encik Abubakar Nataprawira.

Presiden Amerika, Encik Barack Obama, menandatangani satu perintah eksekutif minggu lalu untuk menutup penjara tersebut dalam masa setahun.

Itu mencetuskan spekulasi mengenai sama ada Hambali - yang disifatkan mantan presiden Encik George W. Bush sebagai orang paling berbahaya di dunia - akan dihantar pulang ke Indonesia untuk dibicarakan.

'Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk meneliti apa peluang yang diberikan kepada kami, sama ada (pihak berkuasa Amerika) akan hanya membenarkan kami menemu ramah Hambali di sana atau sama ada kami boleh membawanya pulang ke sini,' kata Encik Nataprawira.

'Jika kami mendapati cukup bukti, kami akan menghadapkannya ke mahkamah,' tegas beliau.

Hambali, yang menjadi orang tengah antara Al-Qaeda dengan JI, didakwa menyertai satu mesyuarat di Bangkok apabila militan akur untuk menyerang 'sasaran lembut' di Asia Tenggara, termasuk serangan ke atas kelab malam di Bali yang membunuh 202 orang pada 2002.

Salah seorang adik Hambali, Rusman Gunawan, dihukum empat tahun penjara pada 2004 kerana menyalurkan AS$50,000 ($74,900) dari Pakistan ke Indonesia atas permintaan Hambali.

Wang tersebut digunakan bagi membiayai serangan ke atas Hotel JW Marriott yang mengorbankan 12 orang di Jakarta pada 2003. -- AFP

No comments:

Posting Terkini