Pages

Friday, March 6, 2009

MB beri MPK dua minggu selesai isu Klang Sentral

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menyelesaikan isu pemindahan operasi bas dari stesen bas lama di bandar Klang ke Terminal Bas Klang Sentral di Meru yang menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata, sekiranya dalam tempoh itu MPK masih gagal menemui jalan penyelesaian, beliau dan Exco terbabit, Ronnie Liu, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, sendiri akan turun padang bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Anda perlu memberi peluang, ini semua dikelolakan oleh MPK, biarlah mereka melaksanakan apa yang mereka mahu lakukan. Kalau anda tak bagi mereka buat kerja susahlah kita dan sebab itu kita beri dia dua minggu. Tolong bantu mereka, pastinya anda mempunyai masalah sendiri tetapi cubalah cari jalan penyelesaian," katanya di hadapan sekumpulan anggota Persatuan Peniaga-Peniaga Klang Utara (Proterm), selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor(MTES) di sini, hari ini.

Kenyataan Abdul Khalid itu adalah susulan tindakan kira-kira 80 peniaga, pengusaha teksi dan kereta sewa serta operator bas yang beroperasi di Klang Sentral menyerahkan memorandum bantahan Rabu lalu, yang mendesak beliau mengekalkan Klang Sentral sebagai stesen pengangkutan awam di bandar itu.

Memorandum itu diserahkan berikutan ura-ura kerajaan negeri mahu membuka semula stesen bas lama di pusat bandar kerana ada pengusaha bas dan peniaga yang mendesak ia dibuka semula.

Mereka juga mempertikaikan kenyataan Ronnie pada 28 Februari lalu bahawa syarikat bas masih boleh beroperasi di beberapa tempat mengambil dan menurun penumpang di stesen bas lama tanpa merujuk kepada kerajaan negeri dan mendakwa keputusan Ronnie itu tidak dimaklumkan kepada semua syarikat bas.

Sejurus selepas Abdul Khalid berucap, wakil Proterm, Krishnan R Chinnachamy menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid memohon supaya tidak menutup terus stesen bas lama kerana bimbang penutupannya akan menjejaskan perniagaan mereka yang sebahagian besarnya bergantung kepada operasi bas di stesen itu.

Mereka antara lain merayu perkhidmatan bas dari Klang ke Kuala Lumpur dikekalkan di beberapa tempat mengambil dan menurun penumpang di stesen bas lama bagi kemudahan orang ramai. - Bernama

No comments:

Posting Terkini