Pages

Friday, January 29, 2010

Menjelang Thaipusam : Polis sabotaj acara S’gor?

KUALA LUMPUR : Tindakan polis mengarahkan kerajaan negeri Selangor merobohkan pentas yang telah siap dibina bagi menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves amat mencurigakan, kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Tambah beliau, polis telah melampaui batas dan hal tersebut berkemungkinan besar disebabkan oleh lawatan Perdana Menteri Najib Abdul Razak esok.

Dalam perkembangan terkini, katanya, beliau bersama-sama Adun Batu Caves, Amirudin Shaari telah bergegas ke tempat kejadian bagi meninjau tindak tanduk polis ini.

Tambah Xavier, ketika mereka meminta penjelasan, polis enggan memberikan kerjasama.

"Kita telah membuat hebahan ke atas acara ini dalam laman sesawang kerajaan negeri, kami telah buat promosi besar-besaran, ribuan pengunjung tahu acara ini. Namun, selepas perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai, kenapakah pada saat-saat pula polis mahu kami hentikan semua acara ini?" soal Xavier.

Perayaan sambutan Thaipusam ini, tambah beliau, adalah sebahagian dari program pelancongan Selangor Shines yang diusahakan kerajaan negeri bersama Tourism Selangor dan syarikat telekomunikasi Digi.

Menurut Xavier, jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk menjayakan program Selangor Shines dalam usaha menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

Sambutan mesra rakyat kerajaan negeri sempena Thaipusam telah dirancang sejak tiga minggu lalu bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang, penduduk dan pihak keselamatan.

Sementara itu, sebuah laman portal berita melaporkan bahawa Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa pentas konsert tersebut telah dibangunkan di atas kawasan untuk kenderaan-kenderaan polis.

Khalid dipetik sebagai berkata, polis tidak membantah sekiranya pentas ini diadakan di tempat yang berbeza.

Tambah beliau lagi, alasan ini telah pun dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah pun rancang program ini bersama-sama barisan penganjur, dan Majlis Perbandaran Selayang tiga minggu sebelum Thaipusam. Dalam masyuarat itu, pihak polis telah tunjukkan penempatan unit polis sepanjang acara Thaipusam.

"Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah meluluskan tempat ini untuk acara kerajaan negeri, dan saya bersama-sama polis telah melawat lokasi ini," kata Xavier.

Xavier menjelaskan tapak dan waktu yang dipilih untuk menganjurkan pesta Thaipusam ini tidak bercanggah dengan aturcara Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Bahkan, tambah Xavier, sekiranya Najib turut melawat pesta ini, kerajaan negeri akan mengalu-alukan kedatangan beliau sebagai tetamu kehormat.

- Era Pakatan

No comments:

Posting Terkini