Pages

Saturday, November 15, 2008

Thaksin ceraikan Pojaman di Hong Kong

THAKSIN Shinawatra bersama isterinya, Pojaman di Manchester Stadium, Manchester pada 24 Ogos lalu. - foto AP


BANGKOK: Thaksin Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan dua tahun lalu dan kini dalam buangan, telah menceraikan isterinya, Pojaman Shinawatra, semalam.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 1976.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Panthongtae dan dua anak perempuan iaitu Pintongtha dan Peathongtarn.

Laporan media menyebut Thaksin dan Pojaman telah mendaftarkan penceraian di Pejabat Konsul Besar Thailand di Hong Kong semalam.

Laporan minggu lalu menyebut pihak berkuasa Britain telah membatalkan visa milik Thaksin dan Pojaman dengan mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya tidak membawa pasangan itu menaiki penerbangan ke Britain.

Tindakan itu diambil selepas mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Thaksin kerana didapati bersalah membantu isterinya membeli tanah kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Maklumat tuntutan cerai itu tidak dapat disahkan dengan Pejabat Konsul yang ditutup hujung minggu manakala cubaan menghubungi pembantu-pembantu Thaksin juga tidak memperoleh maklum balas pengesahan.

THAKSIN Shinawatra (kiri) bersama isteri dan anaknya ketika membeli-belah di Guildford, England pada 11 Ogos lalu. - foto AP

Dalam pada itu, timbalan jurucakap Kementerian Luar Thailand, Thanee Thongpakdi berkata, kementeriannya tidak akan mengulas kes-kes membabitkan soal orang perseorangan.

"Kami menerima laporan bahawa mereka telah mengunjungi pejabat konsul untuk memfailkan tuntutan cerai tetapi tidak dapat disahkan memandangkan ia urusan peribadi dan bukan satu isu berkaitan dengan hal ehwal negara," kata seorang lagi pegawai yang tidak mahu namanya didedahkan.

Jurucakap Thaksin di Thailand, Pongthep Thepkanjana berkata, beliau tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut.

Sekutu politik Thaksin, Jakrapob Penkair semalam mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu kini berada di Hong Kong tetapi enggan memberikan butiran.

Jakrapob pernah berkhidmat sebagai jurucakap kerajaan ketika era Thaksin sebagai Perdana Menteri Thailand.

Kedua-dua pasangan itu kini berhadapan dengan kes mahkamah di Thailand. AP

No comments:

Posting Terkini