Pages

Sunday, August 31, 2008

Anwar: Saya serius bincang bentuk kerajaan Pakatan Rakyat

Oleh Zulkifli Mohamed
PERMATANG PAUH: Langkah ke Putrajaya semakin hampir. Sebelah kakinya kini di anjung kuasa. Tarikh 16 September masih kekal menjadi sasaran pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Setelah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada 28 Ogos lalu, sekaligus sebagai Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mula mengorak langkah bagi menghapuskan tahyul kekuasaan Umno-BN dari dulu, kini dan selamanya.

Kemenangannya dengan majoriti lebih besar 15,671 undi, pada pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos menjadikan pemimpin Umno-BN semakin tidak keruan.

Mimpi ngeri gerun tercabut kuasa, jelas tergambar melalui ucapan Bajet 2009 pada 29 Ogos, apabila Abdullah Ahmad Badawi tidak semena-mena meracau.

Katanya kerajaan "tidak akan membenarkan" wujud perubahan kerajaan persekutuan seperti diuar-uarkan sedang diusahakan oleh ketua pembangkang.

Sehari sebelum itu, kerajaan mengugut ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan memaksa mereka menandatangani akujanji taat setia kepada kerajaan. Kaedah yang sama dipratikkan oleh Dr Mahathir ke atas kakitangan kerajaan, ketika era reformasi.

Bagaimanapun difahamkan sebahagian besar ahli-ahli parlimen berkenaan enggan menandatangani akujanji tersebut.

Keluh kesah dan racau pemimpin Umno-BN disambut oleh Anwar.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau kini akan mengadakan rundingan secara serius dengan ahli-ahli Parlimen BN dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi membincangkan agenda pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat.

“Dalam seminggu dua ini saya akan membincangkan secara serius dengan ahli-ahli parlimen Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mencapai tujuan kita. Beberapa menteripun dah mula mengucap tahniah kepada saya.’’

Berucap pada majlis kesyukuran di Padang Ibu, dekat sini 30 Ogos lepas, Anwar turut membidas kenyataan Abdullah yang kononnya Pakatan Rakyat akan merampas mandat rakyat melalui cara-cara yang tidak demokratik.

“Pilihanraya tidak adil- penipu, media berat sebelah, polis, jentera kerajaan disalahgunakan, apakah itu pilihan raya demokratik ?,” tegasnya.

Anwar bersama Presiden keADILan Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan dua hari ke Permatang Pauh, menghadiri majlis kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat selepas 10 tahun ’direhatkan.’

Berucap kepada wartawan kemudiannya di Bilik Gerakan keADILan Permatang Pauh, Anwar berkata, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang beberapa hari akan datang untuk membuktikan sasaran 16 September akan dicapai.

Anwar berkata, tidak menjadi masalah bagi beliau jika ada pihak yang mempersendakannya dan sasaran 16 September untuk membentuk kerajaan.

“Pada awalnya mereka mendakwa jika saya menang di Permatang Pauh, saya hanya akan memperoleh majoriti lebih 1,000 undi sahaja.

“Mereka juga mengatakan bahawa tiada negeri yang akan jatuh kepada pembangkang dalam pilihan raya umum Mac lalu. Tetapi tidak ada satu pun daripada tanggapan sedemikian menjadi, ” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pihaknya tidak akan menggunakan wang, tekanan ataupun ugutan bagi menarik wakil rakyat BN menyertai barisan pembangkang.

Malah katanya, tiada mana-mana wakil rakyat BN yang ditawarkan jawatan menteri setakat ini.

Menurut Anwar, pihaknya hanya menjanjikan keadilan dan kesaksamaan perwakilan kepada ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kesediaan untuk melompat ke dalam Pakatan Rakyat.

Selepas kemenangan Anwar di Permatang Pauh, desas-desus timbul mengatakan 40 hingga 50 wakil rakyat BN sudah menyatakan kesediaan untuk melompat parti.

No comments:

Posting Terkini