Pages

Wednesday, March 4, 2009

KOREA UTARA TUDUH AS CUBA CETUS PEPERANGAN

SEOUL: Korea Utara kelmarin mengutuk latihan ketenteraan yang bakal diadakan Amerika Syarikat dan Korea Selatan minggu depan.

Pyongyang menuduh kedua- dua negara cuba 'mencetuskan peperangan' dan berkata pasukan tenteranya sudah siap untuk bertempur.

Amerika penjahat yang mahu merosakkan keamanan dan kemantapan Semenanjung Korea dan mencetuskan peperangan,' lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

'Pasukan bersenjata kami sudah siap untuk melancarkan serangan terhadap tindakan provokatif pihak musuh,' tegasnya lagi.

Kenyataan itu disiarkan sehari selepas Korea Utara dan Markas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) membincangkan cara meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan.

Dalam mesyuarat di bandar Panmunjom itu, Korea Utara meminta Korea Selatan dan Amerika menghentikan latihan ketenteraan yang dicadangkan minggu depan, lapor agensi berita Yonhap kelmarin.

Ketegangan meningkat di rantau itu selepas Amerika dan Korea Selatan berkata Pyongyang sedang bersiap-siap hendak melancarkan ujian peluru berpandu balistik yang boleh mengenai sasaran di Alaska.

Korea Utara menafikan laporan itu dan berkata ia hanya bersiap untuk melancarkan sebuah satelit komunikasi sebagai sebahagian projek angkasa lepasnya.

Akhbar pemerintah Korea Utara, Minju Joson, berkata latihan ketenteraan dari 9 hingga 20 Mac di Korea Selatan itu bertujuan mencetuskan peperangan dan tentera Korea Utara akan menumpaskan sebarang provokasi.

Latihan ketenteraan yang digelar Key Resolve/Foal Eagle itu melibatkan sebuah kapal induk Amerika, 26,000 askar Amerika dan 30,000 hingga 40,000 askar Korea Selatan.

Duta khas Amerika ke rundingan enam negara mengenai perlucutan senjata Korea Utara, Encik Stephen Bosworth, dijadual mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan China di Beijing semalam.

Beliau kemudian akan ke Tokyo pada 5 Mac dan ke Seoul pada 7 Mac. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini