Pages

Wednesday, March 4, 2009

DIJEL 42 TAHUN KERANA TAK HENTI ROMPAK DAN CABUL

SEORANG lelaki yang terlibat dalam kes merompak dan mencabul kehormatan tujuh wanita pada waktu malam, dihukum penjara 42 tahun.

Ia merupakan hukuman penjara paling lama yang dijatuhkan ke atas seorang pesalah seks.

Lelaki tersebut, Bala Kuppusamy, 48 tahun, juga dihukum sebat maksimum 24 rotan.

Rekod jenayahnya sebelum ini menunjukkan dia tidak serik meskipun telah dikenakan hukuman berkali-kali.

Bala pernah dihukum penjara dua kali kerana merogol.

Dalam kedua-dua kes itu, dia kembali menyerang wanita selepas hanya satu setengah bulan dibebaskan.

Kesalahan terbarunya berlaku antara 27 April dengan 10 Jun tahun lalu dan mangsanya adalah wanita yang berjalan bersendirian pada waktu malam.

Bala akan menumbuk mangsa-mangsanya, yang berumur antara 16 dengan 34 tahun, dan memaksa mereka menyerahkan wang kepadanya.

Dalam beberapa kes, dia mengheret mangsanya ke kawasan sunyi dan mencabuli kehormatan mereka.

Bala mengaku bersalah ke atas tiga tuduhan merompak dengan mencederakan mangsa, empat tuduhan mencabuli kehormatan dan dua tuduhan mencabul kehormatan dengan menggunakan kekerasan.

Menyifatkan Bala sebagai ancaman kepada masyarakat, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Francis Ng, menggesa Mahkamah Tinggi memenjarakan Bala 40 hingga 45 tahun.

Hakim Tay Yong Kwang bersetuju bahawa dengan rekod jenayahnya, Bala 'tidak sesuai tinggal bersama masyarakat.'

'Terlalu ramai wanita telah menderita akibat perbuatan kejamnya yang merompak, merogol dan memusnahkan kehidupan kaum wanita yang tidak bersalah,' kata Hakim Tay.


No comments:

Posting Terkini