Biro politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mengadakan mesyuarat malam tadi, telah bersetuju menerima penarikan diri calon timbalan presiden Zaid Ibrahim dari pemilihan parti itu. Mesyuarat biro itu yang dipengerusikan presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail, juga meminta seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub untuk memberi maklumat lebih terperinci mengenai tuduhan berlakunya penipuan dan kecacatan pada pemilihan PKR, yang akan berakhir hujung bulan ini.
Mustaffa dua hari lepas telah menyerahkan memorandum kepada pucuk kepimpinan parti berhubungan kepincangan dalam pemilihan itu, terutamanya pemilihan timbalan presiden. Beliau telah memberi pucuk pimpinan PKR 48 jam untuk menghentikan pemilihan parti dengan alasan ianya tidak dijalankan mengikut lunas-lunas demokrasi.
Zaid pula, Isnin lalu, telah mengumumkan yang beliau menarik diri dari bertanding jawatan nombor dua PKR kerana terdapat penyelewengan pada pemilihan tersebut. Beliau juga telah melepaskan semua jawatan dalam parti. Zaid pernah memegang jawatan ketua PKR Wilayah Persekutuan dan ahli jawatankuasa pusat PKR.
Persaingan jawatan timbalan presiden PKR pada asalnya adalah diantara Zaid, Mustaffa dan naib-presiden PKR Azmin Ali.
Menurut sumber, Zaid telah menghantar notis rasmi penarikan diri dari bertanding jawatan timbalan presiden kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) petang semalam.
Dengan penerimaan penarikan diri tersebut, parti itu juga telah memutuskan untuk tidak mencetak nama Zaid pada kertas untuk bagi pemilihan yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Manakala bagi kes Mustaffa disebabkan kekurangan maklumat berhubung aduan itu maka satu pertemuan akan diadakan oleh JPP.
“Mesyuarat malam tadi sudah memutuskan beberapa perkara berhubung hal Zaid dan Mustaffa. Kami sudah terima notis rasmi Zaid petang semalam dan nama beliau tidak akan dicetak dalam kertas undi pada pemilihan minggu ini.
“Bagi kes Mustaffa, memorandum yang dihantarnya kurang maklumat. Jika dia buat aduan tentang salah laku pengawas (pemilihan), dia perlu beri maklumat dimana, siapa dan apa yang berlaku… kebanyakkan aduannya kurang konkrit, bagaimana kita mahu ambil tindakan? Maka JPP akan berjumpa beliau untuk minta maklumat lanjut,” kata sumber itu.
Anwar berjanji menyelesaikan masalah
Dalam pada itu, Mustaffa yang dihubungi FMT berkata beliau akan berjumpa pengerusi JPP Dr Molly Cheah selewat-lewatnya 3 petang ini.
Perbincangan itu katanya bagi merungkai kekusutan yang berlaku dalam pemilihan serta aduan yang dibuat beliau.
“Saya akan bertemu dengan presiden parti dan Molly bagi cari jalan penyelesaian. Kita semua perlu ambil sikap positif dan saya yakin keputusan konkrit akan diterima,” katanya kepada FMT.
Ditanya mengenai tindakan susulan kalau keputusan pucuk pimpinan parti tidak memihak kepada beliau, Mustaffa berkata “jika tidak setuju kita akan buat sidang media sama ada petang ini atau esok”.
Diminta mengulas pertemuan dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di satu majlis Deepavali, Selasa lalu, beliau berkata Anwar telah memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Malah beliau tidak menafikan wujud beberapa perkara yang tidak dipersetujui semasa perbincangan dengan Anwar tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Saya ada berbincang dengan Anwar, beliau akan cuba merungkai kekusutan dan beri komitmen untuk membantu. Biasalah…mesti ada yang saya setuju dan tidak, itu soal biasa,” katanya yang juga naib presiden PKR.
Zaid dan Mustaffa masing-masing dalam satu sidang media pada Selasa lalu, menggesa pimpinan tertinggi dan JPP membatalkan semua keputusan serta mengadakan pemilihan baru yang lebih adil dan telus.
Mereka mendakwa wujudnya pelbagai salah laku dan kelemahan oleh JPP kelemahan ketika pemilihan tetapi tiada satu pun tindakan di ambil.
Menurut Mustaffa, sejak 28 Oktober lalu sebanyak 162 aduan dibuat kepada JPP berhubung pelbagai salah laku yang mencemarkan proses pemilihan tetapi tiada tindakan diambil oleh pimpinan tertinggi parti.
Dua hari untuk kemuka bukti
Manakala itu, Mustaffa, selepas menemui Cheah petang ini, telah diberitahu untuk memberi bukti terperinci mengenai tuduhan berlakunya penipuan dan kecacatan pada pemilihan PKR.
“Walaupun tempoh 48 jam sudah berakhir namun pada pandangan saya perbincangan berterusan perlu. Kita dah menghampiri jalan penyelesaian dan pada masa yang sama apa yang saya suarakan ini adalah ’suara hati’ pemimpin akar umbi.
“Saya mahu tindakan segera diambil dengan JPP membuat audit masalah-masalah yang berbangkit dan membuat penambahbaikan dalam pemilihan kali ini. Maka bukti-bukti itu akan saya serahkan hari ini dan esok tentang kelompongan dan penyelewengan secara khusus mengenai JPP,” katanya yang dihubungi.
Namun ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perbincangan dengan Cheah, beliau berkata “Saya tidaklah berpuas hati sepenuhnya”.
Katanya, perbincangan yang diadakan tengah hari itu melibatkan beliau, Cheah serta AJK JPP.
Sementara itu Cheah memberi jaminan bahawa setiap aduan yang diterima akan diselesaikan dalam tempoh dua hari ini.
“Walaupun JPP kini banyak menerima kritikan negatif, tetapi mereka perlu faham setiap aduan yang kami terima itu perlu diteliti satu persatu. Maka kami perlu masa untuk menyelesaikan segala aduan-aduan ini.
“Dalam masa dua hari ini kami akan selesaikan segala aduan yang ada termasuklah memorandum yang diserahkan oleh Mustaffa,” katanya yang ditemui FMT diluar ibu pejabat PKR petang ini.
Free Malaysia Today
No comments:
Post a Comment