Pages

Wednesday, January 28, 2009

PENJARA BAGRAM SATU LAGI MASALAH OBAMA

WASHINGTON: Sudah beberapa bulan berlaku perdebatan mengenai nasib 245 tahanan di penjara tentera Amerika Syarikat di Guantanamo Bay, Cuba.

Namun, masalah yang sama berat kini dihadapi pentadbiran Presiden Barack Obama berhubung 600 tahanan di penjara tentera di pangkalan udara Amerika di Bagram, Afghanistan.

Para pegawai tentera yang tahu mengenai penjara Bagram dan Guantanamo Bay menyifatkan penjara di Afghanistan itu lebih teruk keadaannya.

Para tahanan tidak diberi banyak pilihan. Mereka tidak boleh mencabar penahanan dan tidak mendapat bantuan guaman.

Ramai yang masih ditahan di kandang besar, tanpa banyak peluang beriadah.

Pentadbiran Bush tidak pernah membenarkan pemberita atau aktivis hak asasi melawat penjara tersebut.

Encik Obama kini mesti membuat keputusan sama ada hendak terus menahan para tahanan itu, kebanyakan mereka gerila Taleban, di penjara Bagram.

Di bawah undang-undang peperangan, mereka ditahan tanpa bicara dan tanpa had masa.

Encik Obama mesti memutuskan sama ada hendak meneruskan pembinaan kompleks penjara baru bernilai AS$60 juta ($90 juta) di Bagram.

Ini kerana di samping memberikan kemudahan yang lebih baik bagi para tahanan, kompleks itu memberi isyarat peri perlunya komitmen jangka panjang terhadap misi penahanan oleh Amerika.

Menyusuli tindakan Encik Obama mengarahkan penjara Guantanamo Bay ditutup dalam tempoh setahun, para aktivis hak asasi berkata tidak lama lagi pentadbiran Obama akan berdepan dengan masalah para tahanan di Bagram.

'Apa yang hendak dilakukan Encik Obama dengan para tahanan di Afghanistan merupakan satu soalan terbuka?' kata Cik Tina M. Foster, pengarah eksekutif International Justice Network, sebuah badan hak asasi di New York.

Yang jelas, semua tahanan di Bagram ditangkap di medan perang. Para peguam pemerintah berkata mereka merupakan ancaman keselamatan jika dibebaskan. -- AP.

No comments:

Posting Terkini