Pages

Thursday, September 25, 2008

Peranan IPT Penting Untuk Pastikan Program Mybrain 15 Capai Sasaran

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menyemak semula prosedur, peraturan dan kawalan mereka, yang menjadi antara lima aspek utama ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan program MyBrain 15 mencapai sasaran melahir tenaga kerja berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang mencukupi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semakan semula keutamaan penting bagi mengurangkan karenah birokrasi yang boleh menjadi penghalang kepada objektif utama program iaitu melahirkan 60,000 penyelidik dan tenaga kerja berkelulusan PhD dalam tempoh 15 tahun.

"Program itu juga menuntut IPT menangani isu-isu yang amat berkait rapat dengan output produktiviti mereka," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Program MyBrain 15 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata IPT juga perlu menangani urusan penyeliaan PhD dengan lebih serius dengan menetapkan nisbah penyelia pelajar PhD perlu diletakkan pada kadar 1:5 untuk memastikan kompetensi penyeliaan yang tinggi.

MyBrain 15 ialah agenda kritikal yang digariskan dalam Pelan Tindakan Transformasi Pengajian Tinggi Negara untuk melahirkan bilangan pemegang PhD yang secukupnya dalam sumber tenaga kerja negara.

Pada tahun ini seramai 1,261 calon ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dalam pelbagai bidang di universiti dalam dan luar negara.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata IPT juga perlu memberikan ganjaran menarik kepada fakulti yang berjaya menaikkan nama universiti dengan menghasilkan paten dan pengkormesialan.

Beliau berkata kebergantungan yang tinggi kepada bajet kerajaan juga perlu dikurangkan sebaliknya berusaha menambah dana dengan pelbagai cara lain yang lebih kreatif.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini