Pages

Thursday, September 25, 2008

Malaysia Cadang Konvensyen Besar-besaran Tangani Islamophobia Diadakan Di Amerika

NEW YORK, 25 Sept (Bernama) - Malaysia mencadangkan agar konvensyen antarabangsa secara besar-besaran anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan di Amerika Syarikat seawal tahun depan bagi menangani segera gerakan anti-Islam yang semakin menular di beberapa negara maju.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata OIC memohon Malaysia memainkan peranan utama ke arah memperbetulkan tanggapan serong masyarakat Barat yang dipengaruhi semangat Islamophobia hingga membenci negara-negara Islam seperti berlakunya protes terhadap pembinaan sebuah masjid di Cologne, Jerman, baru-baru ini.

Harapan OIC itu disuarakan oleh setiausaha agungnya Prof Ekmeleddin Ihsanoglu dalam pertemuan dengan Rais sempena sesi ke-63 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Rais memberitahu wartawan Malaysia bahawa keyakinan OIC terhadap Malaysia untuk mengambil inisiatif menangkis tanggapan tidak benar terhadap negara-negara Islam itu adalah berdasarkan komitmen dan keberkesanan usaha yang dilakukan oleh Malaysia sebelum ini.

Beliau berharap konvensyen itu dapat dihadiri pihak berwibawa seperti pemimpin atau ketua-ketua kerajaan selain golongan sarjana dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong toleransi agama.

"Malaysia harap satu jendela baru dapat dibuka supaya fahaman terhadap Islam lebih universal dan lunak bagi membantu usaha membina tamadun," kata Rais.

Beliau berkata Amerika Syarikat dipilih sebagai lokasi konvensyen tersebut kerana terdapat polemik berhubung Islam di negara itu selain bahawa mesyuarat itu bakal mendapat liputan meluas oleh media.

Cadangan itu sudah disuarakan kepada wakil Amerika Syarikat ke OIC dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur sebelum ini, katanya.

Rais dijadual berucap mewakili Malaysia pada sesi ke-63 Perhimpunan Agung PBB pada Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mulanya dijadualkan berucap tidak dapat hadir kerana tugas mendesak di Malaysia.

Sebelum itu, Rais mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari Jordan Dr Salaheddin Al-Bashir.

Malaysia hari ini menyerahkan kepada PBB Instrumen Ratifikasi Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC) yang akan turut diterima pakai oleh Malaysia.

Rais berkata langkah Malaysia mengesahkan dan menerima pakai konvensyen itu membuktikan komitmen negara terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah di dalam negeri selain di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini