Pages

Saturday, April 9, 2011

Jangan cubit atau jentik pegawai kami

Warta Kerajaan Rakyat - PETALING JAYA: Pihak Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) hari ini mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ‘menyakiti’ mana-mana pegawainya yang ditahan untuk siasatan.
Presiden Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahim Ahmad berkata pihaknya bimbang sekiranya wujud salah guna prosedur SPRM semasa siasatan dijalankan terhadap kakitangan atau pegawai mereka.
“Kita minta supaya janganlah ada pegawai kami dipukul atau dijentik semasa ditahan.
“SPRM perlu lebih bertanggungjawab menjalankan siasatan mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KDRM disini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya setakat ini belum pernah menerima aduan daripada pegawainya yang pernah dilakukan sedemikian semasa disiasat SPRM.
Ibrahim berkata, pihaknya juga mahu persepsi buruk yang dilemparkan sesetengah pihak terhadap pegawai kastam dihentikan termasuk dikaitkan dengan punca kerugian pendapatan negara sebanyak RM108 bilion akibat perbuatan rasuah.
Minggu lalu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata jumlah RM108 bilion itu adalah anggaran kerugian pendapatan negara akibat perlakuan jenayah yang turut melibatkan pelbagai akta di bawah SPRM, JKDM, polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Angka serta input yang didedahkan daripada Unit Perisikan Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) itu melaporkan RM108 bilion hasil negara lesap setiap tahun antaranya akibat perbuatan ‘tangan kotor’ pegawai yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, sebelum wang yang diterima itu kemudiannya dipindahkan ke luar negara.
“Kami pegawai kastam dalam penjawat awam hanya bergred W, bermakna gaji kami sama macam gaji tukang masak saja,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya membuat keputusan mahu berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengarah SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed Selasa depan bagi menuntut penjelasan sekaligus mahu membersihkan imej KDRM.
Kastam mahu bersihkan imej 

Dalam keputusan bersama yang turut dipersetujui Persatuan Pegawai Kanan Kesatuan Kastam Malaysia serta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Ibrahim berkata pihaknya akan meminta pandangan daripada Najib untuk membantu membersihkan imej dan persepsi orang awam terhadap jabatannya.
Manakala perjumpaan dengan Abu Kassim itu nanti akan dilakukan bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan kehilangan RM108 bilion dan kaedah yang digunakan SPRM semasa menyiasat pegawainya serta isu kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed.
Sarbani, 56, dijumpai mati digelanggang badminton selepas jatuh daripada tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pagi Rabu lalu.
Beliau antara 62 pegawai kastam yang ditahan semasa Operasi 3B yang dijalankan SPRM dan enam agensi lain pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain.
Beliau dilepaskan dengan jaminan pada 2 April lalu selepas didakwa dimahkamah.
Allahyarham dikebumikan di pusat pengkebumian Islam Kota Damansara pada jam 6.30 petang semalam.
Ketika ditanya pemberita perlunya sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), Ibrahim bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak mahu isu tersebut diambil kesempatan untuk dipolitikkan oleh pihak tertentu.
“Kita serahkan saja (RCI) kepada pihak yang lebih bertanggungjawab untuk tentukannya.
“Kita tak mahu ada apa-apa andaian terhadap isu tersebut kerana kastam satu-satunya badan beruniform yang menjana ekonomi negara.
Sementara itu, Presiden Ceupacs Datuk Omar Osman berkata dalam pertemuan itu nanti pihaknya juga mahu agar nama Ahmad Sarbani dibersihkan daripada tuduhan membunuh diri.
“Beliau seorang pegawai yang sangat jujur,” katanya.

No comments:

Posting Terkini