Pages

Saturday, April 9, 2011

Lima pemberontak Libya maut akibat bedilan Nato


AJDABIYAH (Libya): Para pemberontak Libya semalam berkata lima pejuang mereka terbunuh apabila pesawat-pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tersilap membedil jajaran kereta kebal dan trak pemberontak.

Seorang jeneral Amerika Syarikat pula berkata mereka tidak mungkin dapat menggulingkan Encik Muammar Gaddafi dengan paksaan.

Dengan pertempuran harian dekat pelabuhan Brega di timur Libya membuahkan sedikit kesan di barisan hadapan dan para pemberontak gagal menamatkan serangan tentera pemerintah di bandar Misrata di barat Libya, Nato mengakui bahawa misinya untuk melindungi orang awam adalah sukar.


Di sebuah bandar di timur Libya, para pemberontak berkata trak-trak dan kereta kebal mereka dibedil pesawat Nato di luar Brega kelmarin, di mana pertempuran telah berjalan selama seminggu.

Ia kali kedua dalam masa kurang seminggu para pemberontak menyalahkan Nato kerana tersilap membedil rakan-rakan mereka selepas 13 orang terbunuh dalam satu serangan udara tidak jauh dari tempat yang sama Sabtu lalu.

Pada masa yang sama, para pemberontak menuduh Nato terlalu lambat mengarahkan serangan udara yang mereka harapkan dalam pemberontakan mereka untuk menamatkan pemerintahan Encik Gaddafi selama lebih empat dekad.Nato berkata ia sedang menyiasat laporan tersebut.

Ditanya adakah konflik selama tujuh minggu itu sedang menuju ke jalan buntu, Ketua Komander Amerika-Afrika, Jeneral Carter Ham, berkata:

'Saya akur dengan itu ketika ini.'

Beliau memberitahu Dewan Senat di Washington bahawa Amerika tidak harus memberi senjata kepada pihak pemberontak tanpa mengetahui dengan lebih jelas siapa mereka.

Apabila ditanya bagaimana perang itu akan berakhir, beliau berkata: 'Saya fikir ia tidak akan berakhir dengan tindakan ketenteraan.'

Para pemberontak tidak mungkin dapat meneruskan perjuangan mereka menawan Tripoli dan menggulingkan Encik Gaddafi dengan menggunakan kekerasan, kata Jeneral Ham.

Para pekerja perubatan membawa pakaian seragam dari bilik-bilik hospital di Ajdabiyah, gerbang masuk ke bandar Benghazi di timur Libya, selepas para pejuang kumpulan pemberontak dibawa ke tempat itu dari Brega.


'Ia akibat serangan Nato ke atas kami. Kami sedang berada dekat kenderaan kami berhampiran Brega,' kata seorang pemberontak yang cedera, Encik Younes Jumaa, dari sebuah usungan di hospital tersebut.

Seorang jururawat, Encik Mohamed Ali, berkata sekurang-kurangnya lima pemberontak terbunuh dalam serangan itu. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini