Saturday, April 9, 2011
Ketua Polis KL: mayat mempunyai kesan kecederaan yang selari dengan kejadian jatuh daripada bangunan.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahawa mayat seorang pegawai kanan kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, Rabu lalu, mempunyai kesan kecederaan yang selari dengan kejadian jatuh daripada bangunan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya akan menerima laporan penuh makmal dalam waktu terdekat atau kurang dari seminggu.
Dalam kejadian itu, Allahyarham Ahmad, 56 tahun, yang juga Penolong Pengurus Kastam Selangor ditemui mati dikatakan terjatuh di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, di Jalan Cochrane di sini.
'Daripada kecederaan di tubuhnya, kami berpendapat ia konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi tetapi kita mesti menunggu laporan ujian makmal sebelum membuat sebarang kesimpulan,' kata Datuk Zulkifli.Menurut beliau, buat masa ini, kenyataan enam pegawai SPRM telah dirakamkan.
Rakaman sistem litar tertutup televisyen (CCTV) juga telah dirampas bagi membantu siasatan, kata beliau.
Datuk Zulkifli menarik perhatian insiden itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut bagi membolehkan polis 'menyiasat kesemua aspek'.
'Jika siasatan kami menuju satu arah tertentu, kami akan mengklasifikasikan kemudian,' kata Datuk Zulkifli.
Dalam kejadian pagi Rabu lalu, Allahyarham dilaporkan datang secara sukarela ke pejabat SPRM untuk berbincang sesuatu mengenai siasatan kes rasuah dengan pegawai penyiasat agensi itu.
SPRM mengesahkan, Allahyarham adalah antara pegawai KDRM yang ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April lalu.
Siasatan dijalankan selepas 62 pegawai kastam ditahan dan disoal siasat kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain baru-baru ini.
Sementara itu, beberapa rakan Allahyarham mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam kes kematian pegawai kanan itu.
Salah seorang rakan sekerja yang enggan dinamakan, berkata Allahyarham merupakan pegawai yang 'paling bersih' dan paling disukai di kalangan kakitangan beliau.
Sumber berkenaan turut mendakwa, SPRM telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan rasuah.
SPRM turut mengugut akan memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi, lapor laman berita Malaysiakini. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment