KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan kekesalannya terhadap tindakan Setiausaha Dewan Rakyat yang menolak usulnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Ahli persendirian Akta Pemansuhan Darurat.
Usul itu semalam ditolak atas alasan empat proklamasi darurat yang masih wujud tidak boleh dimansuhkan, sebaliknya pemansuhan hanya dibenarkan menerusi pembatalan proklamasi oleh Yang Dipertuan Agung atau ketetapan kerajaan melalui Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
“Penolakan teknikal ini adalah sesuatu yang cukup memalukan Parlimen, kerana Rang Undang-Undang ini merupakan usaha saya selaku seorang Ahli Parlimen untuk memansuhkan empat deklarasi darurat yang masih berkuatkuasa, walaupun amat jelas lagi terang yang negara kita kini berada dalam keadaan yang aman sejahtera,” ujar Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Izzah, tindakan tersebut lebih memalukan apabila kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pada 16 Mac lalu yang menyatakan Jabatan peguam negara sendiri berpandangan proklamasi darurat 1996 dan 1997, masing-masig di Sarawak dan Kelantan wajar dibatalkan kerana tidak lagi releven.
“Adalah jelas bahawa sekurang-kurangnya dua proklamasi darurat sudah sepatutnya dibatalkan. Tetapi mengapa hingga kini tiada apa-apa tindakan yang dilakukan pihak Kerajaan Persekutuan? Apakah niat sebenar yang berselindung disebalik keengganan mereka ini?,” soal Izzah.
Katanya lagi, proklamasi darurat yang wujud membawa implikasi maha negatif, yang menggambarkan bahawa negara masih mengalami keadaan darurat.
“Apakah gambaran yang ingin dihantar Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kepada warga asing yang ingin menetap di Malaysia di bawah program “Malaysia My Second Home”?
“Atau kepada rakyat Malaysia yang disaran pulang melalui agensi seperti TalentCorp, namun Negara masih darurat? Atau kepada para pelabur asing, yang kita pohon menyalurkan dana pelaburan mereka, walhal Malaysia masih darurat?,” soal beliau.
No comments:
Post a Comment