Pages

Sunday, December 13, 2009

Korea U sedia sertai semula rundingan nuklear

SEOUL: Korea Utara semalam membayangkan ia bersedia menyertai semula rundingan nuklear yang dipulaukannya selama setahun.

Ini menyusuli rundingan selama tiga hari di Pyongyang antara duta khas Amerika Syarikat, Encik Stephen Bosworth, dengan perunding kanan nuklear Korea Utara.

Pyongyang semalam berkata ia bersetuju untuk bekerjasama dengan Amerika bagi menghurai beberapa perbezaan pendapat, sekali gus membangkit harapan bagi mencapai kemajuan.

'Kedua-dua pihak akur untuk terus bekerjasama pada masa akan datang bagi merapatkan jurang perbezaan yang masih ada,' kata seorang jurucakap Kementerian Luar Korea Utara, seperti ditukil Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Sekembalinya ke Seoul dari Korea Utara, Encik Bosworth kelmarin berkata kedua-dua pihak telah mencapai 'satu persefahaman' mengenai perlunya menyambung semula rundingan nuklear.

Beliau dijadualkan pergi ke Beijing semalam sebelum ke Tokyo hari ini dan ke Moscow esok.

Kementerian Luar Korea Utara berkata ia mengerti perlunya menyambung semula rundingan enam negara.

Ini merupakan reaksi pertama Pyongyang terhadap rundingan selama tiga hari dengan Encik Bosworth.

Di Washington, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata 'mesyuarat awal itu amat positif.'

Jurucakap Jabatan Negara, Encik P.J. Crowley, menggesa Korea Utara membuat komitmen tegas untuk kembali ke meja rundingan.

Di Oslo, Presiden Amerika, Emcik Barack Obama, merayu sokongan antarabangsa bagi memujuk Iran dan Korea Utara membatalkan niat hendak memiliki senjata nuklear.

'Mereka yang mendakwa menghoramati undang-undang antarabangsa tidak boleh memalingkan muka apabila undang-undang itu dicabuli. Mereka yang prihatin terhadap keselamatan negaranya, tidak boleh membiarkan perlumbaan senjata berlaku di Timur Tengah dan Asia Timur,' kata Encik Obama dalam ucapan penerimaan Hadiah Nobel Keamanan, kelmarin.

Sementara itu di Brussels, para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) semalam menegaskan akan menyokong sekatan baru ke atas Iran.

Mereka memberi amaran keengganan Iran berunding mengenai program nuklear akan dihadapi dengan 'tindakan tegas.'

Dalam satu draf kenyataan, pemimpin 27 negara EU berikrar akan menyokong langkah Amerika Syarikat, Britain dan Perancis bagi sekatan baru di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Robert Gates, yang melawat Kirkuk, utara Iraq, semalam berkata beliau menjangka sekatan baru 'yang utama' akan dikenakan ke atas Iran. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini