Pages

Thursday, December 10, 2009

Kadar baru mas kahwin di Selangor RM300

SHAH ALAM: Mulai 1 Januari tahun depan, kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak 1978.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata kadar baru itu ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.

Beliau berkata, kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

"Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda. Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status.

"Saya yakin kadar baru itu tidak membebankan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga kerana ia berpatutan dan bersesuaian mengikut keadaan semasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar JAIS iaitu kad perakuan pengesahan bagi pasangan yang bernikah dan berdaftar di Selangor.

Mohamed Khusrin berkata, kad itu dilengkapi dengan cip maklumat termasuk data pasangan yang merangkumi identiti suami, isteri, wali dan nombor siri surat perakuan nikah pasangan masing-masing.

"Kad pintar ini akan berkuatkuasa mulai tahun depan bagi menggantikan kad nikah sedia ada untuk mengelakkan kes kad perakuan perkahwinan palsu yang dikesan dalam beberapa siri tangkapan Jais sebelum ini," katanya.

Mohamed Khusrin berkata, Jais juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan kad perakuan itu diakses melalui terminal mudah alih Jabatan Agama Islam berkenaan.

Selain Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang menggunakan kad perakuan nikah pintar dalam pengurusan pendaftaran perkahwinan mereka. - Bernama

No comments:

Posting Terkini