KUALA LUMPUR : Ketika kerajaan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus, gaji Ketua Pengarah Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Che Khalib Mohamad Noh didedah sebanyak RM1.8 juta tahun lalu.
Mengulas perkara ini, bendahari KEADILAN, Wiliam Leong berkata, gaji sebanyak itu terlalu besar jika dibandingkan dengan beban dan penderitaan yang ditanggung rakyat Malaysia berikutan kenaikan tarif elektrik.
“Ini tidak selari dengan slogan rakyat didahulukan. TNB sepatutnya memotong kos untuk membayar gaji CEO nya sebelum memaksa rakyat menanggung kenaikan tarif elektrik yang akan menyebabkan kenaikan harga barangan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Justeru itu katanya, kerajaan melalui khazanah nasional sepatutnya mengkaji semula bayaran gaji berkenaan.
“Memang perlu dikaji untuk tunjuk kepada rakyat, mengapa TNB tidak boleh berjimat dengan memotong gaji CEO nya terlebih dahulu sebelum meminta rakyat berjimat,” ujarnya.
Sebuah laman portal baru-baru ini mendedahkan gaji sekali ganda yang diterima Che Khalib, berbanding 2009.
Manakala jumlah gaji yang diterimanya untuk tahun kewangan berakhir 2007, ‘hanya’ dicatat sebanyak 1,107,280.00.
Seorang lagi pengarah eksekutif TNB Azwan Mohd, yang dilantik pada April 2010, menerima RM755,320.22, termasuk gaji pokok RM457,440.
Sementara gaji minima pekerja TNB pula hanyalah RM750.
Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB Mohamad Roszeli Majid sebagai berkata TNB hanya menawarkan kenaikan gaji 7.5 peratus dalam rundingan pekerja-majikan yang sedang berlangsung.
Kesatuan meminta kenaikan antara 10 hingga 25 peratus tetapi ditolak oleh majikan. TNB memperolehi hasil RM34 juta termasuk RM4.1 juta keuntungan daripada operasinya.
No comments:
Post a Comment