Pages

Saturday, December 12, 2009

Geng Arab guna pukau samun barang kemas RM1j

KUALA TERENGGANU: Seorang pemborong barang kemas dari Kuala Lumpur rugi hampir RM1 juta ($408,700) apabila barang kemas yang ditinggalkan di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini dilarikan sekumpulan lima orang, dipercayai warga Arab, kelmarin.

Kejadian berlaku sekitar 2 petang selepas mangsa meninggalkan tiga beg berisi barang kemas dalam peti besi di sebuah kedai emas berhadapan Pasar Payang.

Mangsa, yang baru tiba di Kuala Terengganu bersama dua rakannya, meninggalkan barang kemas itu sebelum pergi makan tengah hari di sebuah kedai makan di hadapan pasar itu.

Pemilik kedai emas terbabit, Encik Zakaria Yusof, 46 tahun, berkata beliau bersama isteri, adik ipar dan anaknya berusia 11 tahun sedang melayan beberapa pelanggan apabila lima orang termasuk seorang wanita dipercayai warga Arab tiba-tiba memasuki kedainya.

'Mereka berdiri di depan kedai dan berpura-pura melihat barang kemas dan kemudian menepuk bahu kami termasuk pelanggan menyebabkan badan terasa kebas dan lidah menjadi kelu.

'Seorang lagi warga Arab itu kemudian ke bilik yang menempatkan peti besi yang hanya dikunci secara biasa lalu mengambil tiga beg berisi barang kemas,' katanya.

Encik Zakaria berkata, mereka tidak memahami percakapan penjenayah itu apabila salah seorang cuba berkomunikasi dengannya. Malah, empat rakannya itu bercakap menggunakan bahasa Arab sesama mereka.

Katanya, mereka semua berasa seperti 'tersedar' apabila salah seorang pelanggan menegur beg yang dibawa lelaki Arab itu milik tuan punya kedai atau lelaki tersebut.

'Sebaik sahaja penjenayah itu keluar dari kedai, saya mengarahkan adik ipar saya mengejar dengan motosikal namun gagal menemui mereka.

'Saya kemudian segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian tersebut,' ujarnya. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini