Pages

Thursday, October 29, 2009

Pesawat terlajak destinasi, juruterbang dibatal lesen

WASHINGTON: Gara-gara terlalu asyik berbincang dan menggunakan komputer riba, dua juruterbang Amerika Syarikat terlajak dan melepasi destinasi mereka sejauh 240 kilometer minggu lepas.

Akibatnya, Pentadbiran Penerbangan Federal (FAA) telah membatalkan lesen dua juruterbang Northwest Airlines itu.

Mereka terlajak dan melepasi lapangan terbang destinasi mereka pada 21 Oktober 2009 sewaktu mengendalikan pesawat Penerbangan 188 dari San Diego ke Minneapolis, menurut kenyataan FAA.

Juruterbang berkenaan, Encik Richard Cole, 54 tahun, dan Kapten Timothy Cheney, 53 tahun, menafikan mereka tertidur seperti yang disangka oleh pakar-pakar.

Kedua-dua juruterbang memberitahu Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) bahawa mereka terlalu asyik dengan program penjadualan kerja baru pada komputer riba mereka sehingga mereka tidak sedar telah terlajak daripada destinasi mereka.

Mereka hanya tersedar apabila seorang pembantu penerbangan bertanya bila pesawat akan mendarat.

Ketika itu, pesawat Airbus A320 yang membawa 144 penumpang dan lima kru sudah melepasi Minneapolis dan berada di negeri berjiran, Wisconsin, pada ketinggian 11,300 meter.

Para penyiasat FAA mendapati dua juruterbang itu berbincang mengenai jadual kerja baru menyusuli penggabungan syarikat itu dengan Delta, yang kini memiliki Northwest Airlines.

Mereka juga tidak mengendahkan panggilan daripada syarikat penerbangan dan menara kawalan lalu lintas udara.

Meskipun kedua-dua juruterbang berhasil berpatah balik dan mendaratkan pesawat di Minneapolis, espisod itu mungkin mendorong NTSB dan FAA mengambil perhatian berat berhubung penggunaan komputer riba dan peralatan elektronik dalam ruang pandu pesawat. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini