Pages

Saturday, August 15, 2009

Polis mungkin perlu periksa orang bertudung

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mungkin perlu memeriksa orang bertudung kepala atau pemakai burqa ketika memburu suspek pengganas paling dikehendaki di negara itu, Noordin Mohammed Top.

Ini kerana Noordin mungkin menyamar dengan memakai pakaian wanita itu, kata bekas seorang pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI), kelmarin.

Nasir Abbas, yang kini membantu polis dalam isu keganasan, membuat kenyataan itu ketika melancarkan bukunya yang bertajuk Memberantas Terorisme, Memburu Noordin M Top.

'Noordin mengelak daripada dicekup pihak berkuasa dengan cara selalu berpindah randah. Dia mengambil kesempatan menerusi sikap penduduk yang cepat mesra, dia memakai tudung dan burqa serta berkahwin dengan wanita tempatan,' kata Nasir yang dipetik Jakarta Globe.

Buku terbaru Nasir itu adalah yang ketiga mengenai JI. Pakar antipengganasan sering merujuk kepada bukunya kerana latar belakang beliau sebagai bekas anggota JI.

Noordin dianggap perancang serangan ke atas dua hotel mewah di Jakarta baru-baru ini iaitu JW Marriott dan Ritz-Carlton.

Nasir adalah salah seorang bekas pengajar Noordin di kem latihan Hudaibiyah di selatan Filipina.

Adik perempuannya berkahwin dengan Mukhlas atau Ali Gufron, seorang daripada tiga pengebom Bali.

Ketika ini, Nasir aktif membantu polis Indonesia dalam usaha memujuk bekas rakannya dalam JI supaya mengubah pendirian mereka.

Pada 2008, Nasir menerima surat rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan beliau bukan lagi berada dalam kategori pengganas. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini