Pages

Saturday, August 15, 2009

Jumlah kanak-kanak keracunan plumbum naik seganda

BEIJING: Bilangan kanak-kanak yang menunjukkan simptom keracunan plumbum di utara China telah meningkat seganda kepada lebih 600 orang, lapor media setempat.

Ujian yang dijalankan ke atas sekurang-kurangnya 615 daripada 731 kanak-kanak yang tinggal di dua perkampungan berdekatan loji meleburkan bijih di bandar Changqing, wilayah Shaanxi, menunjukkan tahap plumbum dalam darah mereka berada di paras tinggi.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa daripada jumlah itu, seramai 166 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital, sementara yang selebihnya dirawat di rumah.

Kes keracunan itu mula dikesan pada bulan lalu. Namun, tidak diketahui bagaimana kanakkanak itu diracuni.

Rabu lalu, pihak berkuasa mengumumkan penutupan loji meleburkan plumbum dan zink di bandar itu yang dipercayai merupakan punca keracunan tersebut.

Tahap plumbum dalam darah 300 kanak-kanak yang menjalani ujian awal ialah antara 100 miligram dengan 400 gram bagi setiap liter.

Ini berbanding dengan tahap normal antara sifar dengan 100 miligram. Tahap melebihi 200 miligram dianggap merbahaya.

Keracunan plumbum boleh menjejas sistem saraf dan pembiakan. Ia menyebabkan tekanan darah tinggi, hilang ingatan, koma dan juga kematian.

Para pegawai telah mengambil sampel air di bawah tanah, baja, air dan pembentungan bagi menentukan sama ada terdapat pencemaran.

Para penduduk yang tinggal dalam lingkungan 500 meter daripada loji itu sepatutnya sudah berpindah. Namun, sejauh ini, hanya 156 keluarga di situ yang sudah berbuat demikian.

Pihak berkuasa daerah sudah mula membina rumah baru untuk 425 lagi keluarga yang masih tinggal berdekatan loji itu.

Rumah baru mereka dijangka siap dalam tempoh dua tahun. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini