Pages

Tuesday, July 7, 2009

Thailand dakwa Thaksin berada di Malaysia baru-baru ini

BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand yang kini menjadi pelarian Thaksin Shinawatra dilihat berada di Malaysia baru-baru ini
tapi berjaya melarikan diri sebelum diberkas oleh pihak berkuasa, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand Thaworn Sennian.

Beliau berkata dalam insiden tersebut pegawai kedutaan Thailand memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa Thaksin ketika itu sedang menginap di Hotel Shangri-La.

“Pegawai-pegawai kedutaan (Thailand) memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung kehadiran Thaksin, namun entah bagaimana Thaksin dapat tahu mengenainya dan berjaya melepaskan diri,” katanya kepada pemberita di Pattani, di selatan Thailand di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat mengenai bila insiden itu berlaku, dan menurutnya selepas insiden itu Thaksin berlepas ke Fiji.

Bekas anggota polis yang kemudiannya menjadi jutawan telekomunikasi memerintah Thailand dari 2001 sehingga 2005, sebelum kerajaannya ditumbangkan oleh rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006 semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau kembali ke Thailand untuk tempoh yang singkat pada tahun 2008 semasa sekutunya memenangi pilihan raya pada Disember 2007, dan kemudiannya menjadi pelarian dalam usaha melepaskan diri daripada menjalani hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menyalahguna kuasa.

Dua Perdana Menteri kemudiannya yang dikatakan menyokong beliau terpaksa melepaskan jawatan ekoran beberapa insiden berikutnya dan parti mereka pula kehilangan kuasa kepada kerajaan pakatan yang diketuai oleh peneraju parti Demokrat, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Thaksin kemudiannya dilaporkan merantau antara rumahnya di luar negara seperti London, Dubai, Hong Kong dan baru-baru ini di Jerman, menggunakan pelbagai pasport negara luar selepas pasportnya dibatalkan oleh kerajaan Thailand.

Walaupun tanpa kehadirannya, beliau kekal popular di kalangan penduduk utara dan timur laut Thailand, yang terserlah dilihat menerusi keputusan dua pilihan raya kecil apabila parti yang menyokongnya Phue Thi Party memenangi kedua-dua pilihan raya itu.

-- Bernama

No comments:

Posting Terkini