Pages

Friday, July 3, 2009

SEKILAS - DUNIA

20 mati, 1,000 ditahan di Iran

TEHERAN: Seramai 20 orang terbunuh dan lebih 1,000 ditahan dalam bantahan di sini selepas pemilihan semula Presiden Mahmoud Ahmadinejad bulan lalu, kata ketua polis negara itu.

'Tiada anggota polis yang terbunuh dalam rusuhan di Teheran tetapi 20 perusuh terkorban,' demikian ketua polis Iran, Encik Ahmadi Moghaddam, dipetik agensi berita Fars sebagai berkata. -- AFP.

H1N1: Dua lagi mati di Thailand

BANGKOK: Thailand mengesahkan dua lagi kematian akibat virus flu H1N1, menjadikan jumlah kematian di negara itu sebanyak lima orang sejauh ini.

Seorang lelaki berusia 47 tahun mati pagi semalam akibat kegagalan jantung dan ginjal di sebuah hospital di sini, manakala mangsa kedua pula seorang wanita dari wilayah Chon Buri, yang meninggal dunia tengah hari semalam, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan Awam Thai. -- Bernama.

Kematian Bhutto mula disiasat

ISLAMABAD: Satu suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilantik untuk menyiasat pembunuhan mantan Perdana Menteri Pakistan, Cik Benazir Bhutto, memulakan tugas semalam walaupun terdapat keraguan sama ada hasil siasatan itu akan membawa kepada pendakwaan.

Panel itu diberi tempoh enam bulan bagi siasatan tersebut. -- AFP.

Gajah bunuh tiga penoreh

BANGKOK: Seekor gajah menghenyak tiga penoreh getah hingga mati di selatan Thailand semalam, selepas ia dibiarkan berkeliaran bebas oleh pengendalinya, kata polis.

Gajah peliharaan berusia 38 tahun itu dipercayai menyerang para pekerja tersebut di tiga ladang getah berasingan di wilayah Trang sebelum ia ditangkap semula. -- AP.

No comments:

Posting Terkini