Pages

Wednesday, July 8, 2009

Pusat Khidmat Adun Sungai Puyu disimbah cat

GEORGETOWN: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Puyu, Phee Boon Pooh yang terletak di No 55, Taman Dedap di sini, disimbah dengan cat merah dipercayai bagi menakutkan beliau.

Phee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Negeri, berkata kejadian itu disedari orang ramai yang melalui bangunan rumah kedai dua tingkat itu dan memaklumkan kepadanya kira-kira jam 7 pagi ini.

"Saya yang ketika itu berada di rumah bergegas ke pusat khidmat bagi melihat sendiri sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau akan membuat laporan polis secara rasmi petang ini selepas selesai mesyuarat exco kerajaan negeri.

Katanya, terdapat kesan cat warna merah di dinding hadapan bangunan pusat khidmatnya, yang dipercayai dibaling dari jalan berhadapan bangunan berkenaan.

Phee tidak menolak kemungkinan kejadian itu, yang turut menyebabkan sebuah kereta di hadapan bangunan berkenaan terkena cat itu, dilakukan oleh pihak yang cuba menakutkannya.

"Ini bukan kerja along kerana saya tidak pinjam dengan mereka, tetapi saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba menakutkan saya kerana pembabitan saya dalam beberapa siasatan kes berprofil tinggi.

"Antaranya berhubung keputusan memotong nilai kontrak dalam tempoh tiga tahun dengan menjimatkan kewangan kerajaan negeri sebanyak RM3 juta dan beberapa lagi kes," katanya.

Phee berkata, beliau tidak takut dengan kejadian itu sebaliknya lebih bersemangat untuk menjalankan tugas demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

"Sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan atau cara kerja saya boleh berjumpa dengan saya atau membuat laporan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan bukan begini caranya," katanya yang tidak menerima sebarang nota ugutan dalam kejadian itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini